Koperasi Pengusaha Getah Tingkat Pendapatan Pekebun Kecil

KUALA NERUS, 8 November - Kerajaan melalui Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) mahu agar usaha menambah pendapatan dan mengoptimumkan penggunaan tanah pekebun kecil getah diberi penekanan sepenuhnya. 

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, selaras dengan itu konsep Pembangunan Komuniti Pekebun Kecil Getah diperkenalkan melibatkan penyatuan pengurusan tanah pekebun kecil termasuk kawasan tanah terbiar. 

“Matlamat utama ialah mewujudkan koperasi bagi membolehkan pekebun kecil menambah pendapatan melalui pengurusan teknologi huluan sehingga hiliran, memendekkan rantaian bekalan (supply chain), penjualan hasil getah dan tanaman sampingan melalui sistem perladangan kontrak (contract farming) dan elemen pembangunan kebun getah secara integrasi dengan ternakan dan tanaman secara berkelompok,” ujarnya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Koperasi Pengusaha Getah Kuala Nerus Berhad di Duyong Marina& Resort, Pulau Duyong, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pengarah Lembaga Getah Malaysia (LGM), Dato’ Dr. Zairossani Mohd Nor.


Katanya, koperasi yang ditubuhkan berperanan sebagai pembeli dan penjual getah berlesen termasuk mengurus pengeluaran lateks yang berkekalan bagi keperluan industri.

“Produk nilai tambah juga dilaksanakan sebagai pendapatan tambahan kepada pekebun kecil. 

“Berdasarkan kajian, kaedah ini mampu membantu meningkatkan pendapatan pekebun kecil sehingga 30 peratus berbanding kebergantungan terhadap hasil getah semata-mata,” ujarnya. 

Justeru katanya, semua pihak termasuk LGM, koperasi dan peserta projek yang terdiri daripada pekebun kecil perlu memainkan peranan masing-masing.

“ Adalah diharapkan dengan pelancaran koperasi di Kuala Nerus ini, taraf hidup pekebun kecil getah dapat ditingkatkan ke tahap yang membanggakan,” ujarnya.