Terengganu Tarik Pelaburan RM3.1 Bilion Melalui ECERDC, Jana Lebih 5,000 Kerja
KUALA TERENGGANU, 10 Ogos - Anak syarikat kerajaan negeri, Konsortium Perumahan Rakyat Terengganu Sdn Bhd (KOPERAT) terus memainkan peranan penting bagi memenuhi keperluan perumahan tempatan untuk rakyat di negeri ini.
Pengerusi KOPERAT, Hishamuddin Abdul Karim berkata, walaupun projek perumahan bercampur dibangunkan dalam bentuk penswastaan namun syarikat terbabit tidak mengabaikan pembinaan Rumah Mampu Milik (RMM).
"Keseluruhan rumah yang telah kita bina sudah mencapai 5,000 buah rumah komersial dan RMM di pelbagai daerah telah kita bangunkan, paling banyak dibangunkan projek ini adalah di Dungun serta di Kijal di mana ia dilakukan secara berfasa.
"Pada projek akan datang di tahun hadapan kita akan menyiapkan 564 unit perumahan bercampur di Alor Limbat, 97 unit di Besut serta pada kebiasaanya dalam jumlah seperti itu pasti akan ada rumah RMM yang dibina,"ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), di Majlis Makan Malam Sambutan Jubli Perak KOPERAT 2022 kali ke-25, di Permai Hotel, di sini semalam.
Majlis yang telah dirasmikan oleh Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar itu turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Terengganu, Dr Alias Razak, Setiausaha Kerajaan Terengganu, Tengku Seri Bijaya Raja dan Pengurus Besar KOPERAT, Sayed Abdul Rahman Engku Sulong.
Dalam pada itu Hishamuddin berkata, pihaknya tiada sebarang halangan untuk menumpukan pembinaan RMM sekiranya diminta oleh kerajaan negeri.
"Dalam memenuhi hasrat kerajaan negeri yang pada ketika ini berusaha untuk memastikan rakyat mampu memiliki rumah dan peruntukkan itu perlu disalurkan oleh kerajaan negeri dan kita akan berusaha untuk memenuhinya," ujarnya.
Sementara itu menurut Sayed Abdul Rahman, KOPERAT selama 25 tahun sentiasa memberi komitmen yang tinggi bagi memastikan setiap projek perumahan yang dijalankan berjalan dengan lancar.
"Tidak pernah dalam sejarah terdapat projek perumahan yang terbengkalai ini kerana kita telah melantik kontraktor yang berwibawa, berkemampuan serta menyakinkan, perjalanan projek dipastikan berjalan dengan betul dan terjaga.
"Di samping itu sebagai anak syarikat kita juga mencari jalan untuk tolong rakyat dengan memastikan setiap rumah yang dijual adalah ditawarkan pada harga sedikit rendah berbanding syarikat pemaju lain dan seandainya berlaku kenaikan kos bahan binaan kita berusaha untuk memastikan harganya masih rendah.
"Sebagai contoh jika naik 10 peratus kita mungkin akan naikkan lima peratus sahaja dan selebihnya itu kita akan tanggung atau cari jalan untuk mengurangkan kos,"katanya lagi.