• 02 Mei 2024 | 23 Syawal 1445

Kopi Asli Kampung Tembusi Pasaran Luar Terengganu


KUALA TERENGGANU, 18 Februari - Bermula tanpa sebarang ilmu pengetahuan tentang memproses kopi, kini Wan Ahmad Fadli Wan Abdullah, 39, mampu memiliki produk kopi berjenama sendiri iatu Kopi Asli Kampung Cap Layar selepas mengalih alih perniagaan Allahyarham bapanya pada 2014.

Pada masa sama, beliau juga berjaya membuka bengkel yang dilengkapi mesin memproses kopi, mesin penghancur, meja mengering dan mesin uncang pada 2017.

Wan Ahmad Fadli berkata, sewaktu mengambil alih perniagaan arwah ayah, dia hampir putus asa kerana merasa terlalu penat, kekurangan modal dan pasaran kopi sangat terhad.

Katanya, berkat kesabaran, hasil dorongan isteri, Halimatun Saadiah Yusof, 35, dan tunjuk ajar ibu tiri yang menurunkan ilmu bermula cara memproses sehinggalah siap membungkus.

“Kini perniagaan  yang diambil alih itu berjaya menebusi pasaran sehingga ke luar Terengganu dan mendapat kepercayaan beberapa pasaraya terkenal di negeri ini.





“Antaranya Pasaraya Sabasun, Pasaraya DM, Pasaraya Muslimah, Pasaraya Sinar, Pasaraya Marang dan puluhan kedai runcit,” katanya yang juga pengurus kepada syarikat kopi itu, Norwan Jaya Trading.

Menurut Wan Ahmad Fadli, bagi memenuhi permintaan pasaran, syarikatnya perlu menyediakan stok kopi Robusta sekurang-kurangnya 500 kilogram atau lebih bagi tempoh sebulan.

“Stok kopi itu akan dipekkan mengikut sukatan tertentu dan dibungkus secara uncang sebelum dijual dengan harga yang sangat berpatutan” katanya.

Katanya, bukan mudah sebenarnya untuk menghasilkan produk kopi kerana ia memerlukan kesabaran yang tinggi, ketelitian dalam setiap adunan bahan dan mempunyai tempoh masa lama untuk masak.


“Sekiranya tersilap memproses, kopi yang dimasak akan cepat keras, selain hilang aroma kopi yang dimahukan.

“Saya dibantu dua pekerja dan isteri, ia memerlukan masa sekurang-kurangnya 5 jam untuk proses menggoreng biji kopi, mengadun, mengering adunan dan membungkus,” katanya.

Wan Ahmad Fadli  berkata, sewaktu arwah ayah mengendalikan perniagaan, semua proses itu  menggunakan kaedah  tradisional, bermula daripada proses menggoreng biji kopi mengunakan kayu api, menumbuk, mengering dan membungkus menggunakan api lilin.


“Bila mengambil alih perniagaan ini, kini baru terasa  sukarnya memproses kopi, bagaimanapun tetap diteruskan amanat arwah agar legasi perniagaannya diterusnya oleh saya, “ katanya.


Tag: