• 21 Apr 2024 | 12 Syawal 1445

Korban Lembu ‘Sado’ Jadi Perhatian

 

Oleh : Azhar Yusof

HULU TERENGGANU, 1 Ogos -  Seekor lembu baka Charolais seberat 970 kilogram (kg) menjadi perhatian penduduk sekitar  apabila dikorbankan di Ajil sempena sambutan Aidiladha tahun ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil, Ustaz Maliaman Kassim berkata, ini kali pertama pihaknya membeli lembu baka ini untuk ibadah korban sejak program korban perdana diadakan kira kira empat tahun lalu.

Katanya, lembu baka Charolais bernilai lebih RM15,000 ini dibeli bersama seekor lagi lembu baka Belgian Blue dan 15 ekor lembu baka tempatan dengan peruntukan dari kerajaan negeri untuk diagihkan kepada Unit Daerah  Mengundi (UDM) Ajil.

"Proses penyembelihan lembu sado  ini memerlukan tenaga kerja hampir 10 orang dan mengambil masa lebih sejam.

"Jumlah daging yang berjaya diperolehi daripada lembu baka ini sebanyak 420 kg berbanding lembu kampung hanya 80 kg hingga 120 kg seekor.

“Kta lerakkan sebanyak 600 gram bagi setiap bungkusan untuk diagihkan kepada golongan memerlukan dan penduduk sekitar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) ketika ditemui selepas berakhirnya ibadah menyembelih haiwan korban di perkarangan kediamannya hari ini.

Sementara itu, tukang sembelih, Mohd Amirul Ibrahim, berkata, proses penyembelihan lembu ini tidaklah sesukar seperti melihat fizikalnya yang besar.

"Cuma proses menumbangkannya memerlukan lebih fizikal manusia dan masa,"ujarnya.