• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Bayaran Baiki Taman Ilmu Lebih Mahal Berbanding Kos Bina

KUALA TERENGGANU, 22 Mac - Kos baik pulih Taman Ilmu di Tembila, Besut memakan belanja sebanyak RM400 juta, jauh lebih tinggi berbanding semasa awal pembinaan projek iaitu RM300 juta.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahri Mamat berkata, susulan itu, kerajaan negeri tidak bercadang meneruskan pembinaan projek yang terbelengkalai lebih dari 10 tahun itu sebaliknya akan mencari penyelesaian terbaik sebaik urusan perundangan selesai.

"Selain memakan kos yang tinggi, ia juga berdepan dengan kes mahkamah.

"Setakat ini kita tunggu selesai kes mahkamah dahulu, kerajaan negeri ada dua lagi kes mahkamah pada 22 Mac dan 4 April ini melibatkan saman yang dikemukan kontraktor kepada POSC TI Sdn Bhd.

"Tapi kerana syarikat itu telah gulung tikar jadi mereka telah kemukakan saman kepada kerajaan negeri. Kemudian kita juga ada buat lawatan dan diberitahu kos nak baiki projek itu sangat tinggi, jadi memandangkan terlalu banyak isu kita rasa sukar untuk kita lakukan pembangunan semula di situ," katanya.

Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sura, Wan Hapandi Wan Nik dalam Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri, Keempat Belas, di Wisma Darul Iman, hari ini.

Difahamkan, Taman Ilmu merupakan projek sakit kerajaan negeri yang terbengkalai sejak 2004.

Ia merupakan projek pembangunan  Wilayah Ekonomi Pantai timur (ECER) semasa pentadbiran Barisan Nasional bagi menempatkan enam buah institut pengajian tinggi (IPT) dengan melibatkan kawasan seluas 280 hektar.

Pada 2013 kerajaan negeri melantik syarikat POSC TI untuk membangunkan semula dan menguruskan  projek Taman Ilmu itu.

POSC TI  kemudiannya telah melantik 17 lagi syarikat (sub kontraktor) dibawahnya. Namun menteri besar ketika itu telah menamatkan kontrak syarikat POSC T1.

Pada 2016 kerajaan negeri membayar kepada POSCT TI sebanyak RM45 juta selepas syarikat itu mahu menyaman kerana isu penamatan kontrak.

Selepas 2018, PAS mengambil alih kerajaan negeri, enam sub kontraktaktor di bawah syarikat POSCT TI meneruskan saman terbabit.

Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Satiful berkata kerajaan negeri ada memberi tawaran kepada kepada enam sub kontraktor itu pada 2020 untuk membaik pulih projek tersebut dengan kos bernilai RM24 juta namun ditolak oleh syarikat berkenaan.

Pada masa sama beliau berkata ketika ini hanya dua blok bangunan asrama Taman Ilmu yang dapat digunakan dan ia diserahkan kepada Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).

Justeru katanya, kerajaan negeri juga akan menukarkan tapak bangunan kolej universiti milik kerajaan negeri yang sepatutnya dibina di Taman Ilmu.

"Seperti yang kita kata kos itu terlalu tinggi RM400 juta berbanding nak buat kolej universiti dengan kos RM350 juta sahaja baik kita buat di kawasan baharu," katanya.

Tambahnya  kolej universiti itu akan ditempatkan di Durian Mentangau, Dungun dan proses pembinaankan akan bermula pada tahun ini juga.