• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Kota Putera Himpun 300 Otai Kenderaan Klasik

BESUT, 22 Januari- Lebih 300 pemilik kenderaan klasik terdiri daripada kereta-kereta keluaran Mercedes Benz dan jenama lain, selain motosikal dan basikal berusia lebih 100 tahun berhimpun di Dataran Limbungan, di sini sejak semalam.

Kenderaan tersebut dihimpunkan sempena Karnival Permotoran Pantai Timur anjuran bersama Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Putera dan Kelab Otai Mercedes Benz Besut dibantu Majlis Daerah Besut dan Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS).

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, program yang julung kali diadakan itu mempersembahkan keunikan tersendiri dan mendapat sambutan hangat di kalangan masyarakat setempat.

“Kita merancang karnival ini dalam tempoh kurang sebulan untuk adakan tetapi, dengan  dukungan semua pihak, kita terima sambutan begini baik daripada peserta sehingga urus setia terpaksa mengubah target kehadiran mereka beberapa kali. 

Nurkhuzaini bergambar di hadapan salah satu kereta klasik yang dipamerkan.

“Daripada kurang 200 peserta yang dijangkakan semalam, hari ini kita dapati melebihi 300 kenderaan hadir mewakili kelab-kelab Mercedes Benz daripada enam buah negeri,” katanya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI).

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan perasmian karnival berkenaan, malam tadi.

Antara basikal unik yang dipamerkan.

Jelasnya, program berlangsung semalam diwarnai dengan siri konvoi kenderaan klasik ke kawasan-kawasan menarik di sekitar Kota Putera.

“Besut ibarat mini Terengganu. Kalau orang kata Terengganu terkenal dengan pantai, kita ada Pantai Bukit Keluang dan Pulau Perhentian. Di sini juga kita ada air terjun dan air panas, ada tasik di Hulu Besut, kenapa tidak digembleng untuk diketengahkan kepada umum? 

“Jadi Kota Putera ingin memulakan hasrat ini dengan menaikkan benda-benda yang perlu diketengahkan kepada masyarakat bagi menarik pengunjung dalam dan luar negara dan kita memulakan pecutan ini sebagai persediaan pelancongan pada masa akan datang,” katanya.

 


Tag: