• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

KPDN Jamin Bekalan Gula Cukup Menjelang Aidiladha

KUALA TERENGGANU, 30 Mei -Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memberi jaminan  memberi jaminan bekalan gula terkawal dan mencukupi bagi keperluan pengguna di  di seluruh negara menjelang musim perayaan Hari Raya Aidiladha pada akhir bulan depan.

Timbalan Menterinya, Fuziah  Salleh berkata pihaknya telah mengeluarkan arahan kepada dua kilang terbesar negara iaitu Central Sugar Refinery Sdn Bhd (CSR) dan MSM Malaysia Holdings Bhd (MSM) mengeluarkan bekalan gula pasir kasar dan halus seperti biasa untuk diagihkan kepada pemborong.

"Kedua-duanya  akan mengeluarkan bekalan gula mengikut kapasiti ditetapkan iaitu masing-masing 24,000 dan 18,000 matrik tan.

"Dan kita juga keluarkan arahan kawalan pengeluaran di mana kita boleh memeriksa  di kilang. berapa yang dikeluarkan dan berapa banyak kita hantar untuk keperluan pemborong,” katanya selepas melakukan lawatan kerja ke sebuah syarikat pemborong gula di sini hari ini.

Sementara itu, beliau berkata, Ops Manis yang bermula pada 3 Mei sehingga 29 Mei 2023 yang lalu, telah berjaya menampakkan perkembangan yang amat positif.

Menurutnya, ini terbukti apabila negeri-negeri yang mengalami gangguan bekalan gula telah pulih hampir 100 peratus.

Justeru itu katanya, KPDN telah melanjutkan tempoh Ops Manis bagi memastikan bekalan gula sentiasa mencukupi menjelang Aidiladha.

“Ops Manis yang sepatutnya tamat pada 29 Mei dilanjutkan  kepada 30 Jun bagi memastikan gula mencukupi menjelang tempoh perayaan itu,” ujarnya.

Tambah beliau lagi, operasi yang dilaksana di Kelantan dan Terengganu sebelum ini telah diperluas ke seluruh negara berikutan terdapat aduan kes di beberapa negeri lain.

Dalam masa yang sama, Fuziah juga menyeru supaya pengguna agar tidak membuat pembelian panik kerana tindakan berkenaan boleh menjejaskan rantaian bekalan gula di pasaran.