• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

KPDNHEP Gesa Segerakan Pembungkusan Dan Agihan Minyak Peket

MARANG, 30 Januari -  Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menggesa syarikat pembekal minyak masak bersubsidi (peket) di bawah Skim Penstabilan Harga Minyak Masak Bersubsidi (COSS) menyegerakan kerja-kerja pembungkusan dan agihan minyak bagi mengatasi masalah kekurangan bekalan di pasaran.

Pengarah Penguatkuasanya, Azman Adam berkata, isu kekurangan bekalan makanan itu tidak sepatutnya berlaku kerana kuota pengeluaran minyak masih sama dan tidak berkurangan kerana sehingga kini pengeluaran minyak subsidi masih kekal sebanyak 60,000 tan metrik setiap bulan.

"Kita telah arahkan semua peserta program COSS supaya segerakan aktiviti pembungkusan dan agihan minyak masak peket kepada rantaian perniagaan mengikut kuota supaya kita dapat wujudkan lambakan di pasaran.

"Sepatutnya isu kekurangan bekalan minyak masak bersubsidi tidak timbul kerana jumlah pengeluarannya masih sama, tidak berkurang malah ia turut ditampung dengan subsidi kerajaan bagi minyak botol," katanya selepas meninjau Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Tahun Baru Cina di Pasar Awam Wakaf Tapai, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarah KPDNHEP Terengganu, Shaharuddin Mohd Kia.

Azman juga berkata, masyarakat di luar bandar juga digalakkan  untuk menyalurkan maklumat dan membuat aduan sekiranya berlaku gangguan bekalan keperluan asas di kawasan mereka selain salah laku oleh segelintir peniaga yang tidak beretika di dalam menjalankan aktiviti perniagaan mereka di kawasan tersebut.

"Jika ada individu yang menjadi mangsa syarat 'pelik' oleh pemborong bagi pembelian minyak masak bersubsidi satu kilogram (kg) diminta mengemukakan aduan secara spesifik KPDNHEP bagi membolehkan tindakan segera dibawah Akta Kawalan Bekalan 1961 diambil sekaligus mengekang kesalahan itu daripada terus berleluasa.

"Mereka yang mengenakan pembelian bersyarat misalnya perlu membeli barangan lain untuk mendapatkan minyak masak telah melakukan kesalahan yang berdepan tindakan undang-undang, namun, banyak pihak yang hanya menyalurkan aduan melalui media sosial tanpa memberi maklumat spesifik dan ini menyukarkan kita untuk mengambil tindakan.

Justeru itu katanya, mana-mana pihak terutama peniaga yang dikenakan syarat tersebut untuk tampil melaporkan kepada KPDNHEP secara spesifik bagi memudahkan tindakan diambil.