• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

KPDNHEP Giat Kesan Pasaran Daging Lembu Sejuk Beku Tidak Halal

Foto Kredit : Sinar Harian

HULU TERENGGANU, 4 Disember - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) kini giat mengesan lokasi penghantaran daging lembu sejuk beku tidak halal di seluruh Malaysia.

Timbalan Menterinya, Dato' Rosol Wahid berkata langkah ini diambil selepas menemui gudang yang menyimpan daging sejuk beku berkenaan di Senai, Johor.

"Tindakan drastik telah diambil bagi mengesan pengedaran daging untuk pasaran sama ada di Utara ataupun Pantai Timur supaya tindakan segera dapat dilakukan bagi memastikan penguna-penguna mendapat barangan dan makanan yang halal.

"Kita yakin dalam masa terdekat ini dapat selesaikannya dan bekalan yang terlepas akan ditarik balik dari pasaran termasuk kenakan tindakan undang-undang pada mereka yang terlibat," ujarnya kepada pemberita selepas melawat projek perusahaan membuat kerepek pisang di Kampung Teris, Telemong, di sini, hari ini.

Rosol juga berkata, pihaknya juga sedang melihat dan menyiasat kewujudan kartel membawa masuk sejumlah kontena daging sejuk beku yang banyak juga kemungkinan ada kaitan dengan ketirisan penguatkuasaan agensi tertentu.

"Kami juga sedang menyiasat 
bagaimana daging tidak halal itu boleh masuk di sempadan, di pelabuhan yang mana berlaku kebocoran dan pihak berwajib sedang berusaha untuk kenalpasti punca tersebut,"ujarnya lagi.

Terdahulu, media melaporkan taktik jahat kartel yang menyeludup daging sejuk beku dari China, Ukraine, Brazil dan Argentina sebelum membungkus semula daging berkenaan menggunakan logo halal dan menjualnya ke pasaran seluruh Malaysia dalam serbuan bersepadu pihak berkuasa di sebuah gudang di Senai, baru-baru ini.


Tag: