• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

KPDNHEP Jamin Bekalan kit Ujian Kendiri COVID-19 Mencukupi

HULU TERENGGANU, 9 Oktober - Orang ramai tidak perlu bimbang mengenai kemungkinan kekurangan kit ujian kendiri covid-19 kerana bekalan alat itu mencukupi dalam pasaran.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Dato Rosol Wahid berkata pihak KPDNHEP kini sedang bekerjasama dengan pembekal untuk memastikan bekalan kit ujian kendiri COVID-19 mencukupi, selaras dengan permintaan yang semakin tinggi.

Katanya, permintaan bagi kit sedemikian dijangka semakin meningkat selepas saranan kerajaan untuk rakyat melakukan ujian kendiri COVID-19 sebelum merentas negeri dalam masa terdekat dan negara memasuki fasa endemik.

"Buat masa sekarang, kita ada kira-kira enam juta kit ujian kendiri COVID-19 dalam pasaran dengan 28 syarikat yang diberikan lesen oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebagai pembekal dan pengedar.

"Kita jangka jumlah pembekal ini akan meningkat dari semasa ke semasa untuk menampung permintaan dalam negara dan tidak timbul isu bekalan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas penyampaian hadiah program kayuhan basikal 'Fun Ride' Parlimen Hulu Terengganu sempena Hari Sukan Negara 2021, di Dataran Pasar Tani Kuala Berang, hari ini.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Ajil, Ustaz Maliaman Kassim.

Tambah beliau, pengguna juga boleh mula mendapatkan kit ujian ini di premis selain farmasi, iaitu pasar raya dan kedai serbaneka menjelang akhir bulan nanti.

Sementara itu, mengulas cadangan beberapa pihak supaya kerajaan memberi subsidi pembelian kit ujian kendiri COVID-19, selain dijadikan barangan kawalan juga sesuatu yang wajar dipertimbangkan, Rosol berkata  perkara itu memerlukan kajian mendalam.

"Dalam keadaan ekonomi negara yang tidak stabil dan dalam fasa pemulihan, saya rasa perkara itu perlu dikaji dengan lebih mendalam kerana kerajaan telah memberikan terlalu banyak subsidi seperti subsidi makanan, minyak masak dan sebagainya.

"Namun setelah kerajaan menurunkan harga kit dengan lebih murah, saya yakin semua orang mampu memilikinya," ujarnya.

Dalam pada itu, Rosol berkata harga maksimum baharu kit ujian COVID-19 dijangka akan diumumkan Menteri KPDNHEP akhir November ini selepas perbincangan bersama pemain industri dan KKM dimuktamadkan.