• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

KPDNHEP Kenal Pasti 12 Barangan Kawalan Bagi SHMKM

HULU TERENGGANU, 4 Disember - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah mengenal pasti 12 jenis barangan terkawal bagi pelaksanaan program Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM).

Timbalan Menterinya, Dato Rosol Wahid berkata ia  berkuatkuasa pada 7 hingga 31 Disember 2021 ini.

Katanya, antara barangan tersebut adalah  ayam, telur, kacang panjang, cili merah, tomato, sawi, kubis bulat import Indonesia dan China serta timun.

"Untuk SHMKM, harga maksimum ayam standard ditetapkan RM9.30 sekilogram bagi jualan runcit dan RM8 sekilogram untuk pemborong di Semenanjung, kecuali Langkawi.

“Ia berlainan dengan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Krismas yang akan diumumkan kemudian,” katanya.

Beliau berkata demikian di sidang media selepas meninjau  Program Jualan Keluarga Malaysia (JKM) di perkarangan DM Pemborong Sdn Bhd di Kuala Berang hari ini.

Katanya, penentuan harga barangan dibuat mengikut kesesuaian harga pasaran semasa dan mengambil kira pelbagai faktor perubahan harga khususnya bagi barangan import.

"Harga kawalan bagi 11 barang lain terbabit juga adalah berbeza mengikut kawasan, dengan penetapan dibuat berdasarkan kesesuaian harga pasaran," ujarnya.
 
Menurut beliau lagi, program itu akan diperluaskan di seluruh kawasan Parlimen dan mengikut perancangan awal, ia akan diadakan dua kali sebulan serta disasarkan berlangsung sehingga Februari tahun hadapan.

"Kita sasarkan kawasan B40 dan M40 kerana mereka adalah golongan yang terkesan teruk akibat kenaikan harga barang terutama selepas Covid-19.

“Antara barangan yang dijual seperti beras, gandum, gula, bahan kering dan barang basah dengan diskaun 20 hingga 50 peratus,” ujar Rosol.

Dalam masa yang sama, pihaknya juga akan mengambil tindakan tegas terhadap peniaga yang gagal mematuhi peraturan-peraturan di bawah skim ini di bawah Akta Kawalan Harga dan Pencatutan 2011.

Sementara itu, beliau juga juga berkata kerajaan akan membawa masuk 200 kontena ayam sejuk beku dari luar negara bagi memberi pilihan harga lebih murah berbanding ayam segar dari ladang.

Rosol berkata , langkah itu sebagai usaha mengawal kenaikan harga ayam di pasaran yang sedang berlaku.