• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

KPDNHEP Kesan 34 Kes Jual Kit Ujian Kendiri Covid-19 Mahal

HULU TERENGGANU, 18 September - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) merekodkan 34 kes peniaga dan pengusaha farmasi yang menjual kit ujian kendiri COVID-19 melebihi harga ditetapkan bagi tempoh 5 September lalu sehingga kelmarin.

Timbalan Menterinya, Dato' Rosol Wahid berkata pihaknya melakukan pemeriksaan terhadap lebih 1,800 premis membabitkan sektor pengedaran, pemborong dan peruncitan di seluruh negeri selepas diberi tempoh seminggu untuk penyelarasan harga dari tempoh kuat kuasa harga siling kit ujian kendiri.

" Daripada pemeriksaan tersebut, terdapat 34 kes menjual melebihi harga kawalan, satu kes telah dikenakan kompaun sebanyak RM250 manakala 185 menjual di bawah harga kawalan.

"Selebihnya iaitu 1,552 menjual mengikut harga kawalan dan didapati kadar pematuhan kawalan harga mencapai tahap tertinggi,"ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau Pusat Pemberian Vaksin Di Akademi Binaan Malaysia Jenagor di sini, hari ini.

Sementara itu, seramai 1,800 penduduk sekitar menerima suntikan kedua dalam program vaksinasi tersebut.

Tambahnya lagi, konsep penguatkuasaan harga maksimum itu adalah sebagai penanda aras atau harga siling agar peniaga tidak menjual melebihi harga siling yang ditetapkan.

Untuk rekod, KPDNHEP menetapkan harga runcit maksimum bagi setiap set kit ujian kendiri COVID-19 pada harga RM19.90 manakala harga borong pula ditetapkan RM16 bermula 5 September lepas.