• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

KPDNHEP Rampas 615 Liter Diesel

DUNGUN, 11 Februari – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Cawangan Dungun berjaya merampas 615 liter minyak diesel  bernilai RM1,297.65 di sebuah stesen minyak di sini, semalam.

Pengarah KPDNHEP negeri, Shaharuddin Mohd Kia berkata pihaknya telah membuat risikan dan siasatan berhubung aduan daripada orang awam berkaitan aktiviti penyelewengan minyak diesel di stesen minyak berkenaan dan risikan selama tiga hari telah dilakukan sebelum tindakan serbuan dijalankan.

“Semasa serbuan yang dijalankan pada jam 1.40 tengah hari, seorang lelaki tempatan berusia dalam linkungan 40-an dilihat sedang mengisi minyak diesel ke dalam tong drum yang diletakkan di bahagian belakang sebuah kenderaan pacuan empat roda. 

“Soal siasat yang dijalankan mendapati lelaki terbabit gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran daripada Pengawal Bekalan bagi membeli barangan bersubsidi tersebut. 

“Susulan daripada itu, pasukan serbuan telah merampas 615 liter minyak diesel, tiga tong drum dan sebuah kenderaan pacuan empat roda untuk siasatan lanjut dengan jumlah keseluruhan nilai rampasan adalah sebanyak RM72,047.65,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Shaharuddin berkata,  tindakan ke atas pengusaha stesen minyak di bawah Peraturan 21 (1) Peraturan Peraturan Kawalan Bekalan 1974, Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana melanggar arahan pengawal bekalan iaitu telah melanggar syarat lesen tidak boleh menjual petrol atau diesel kepada mana-mana orang yang tidak mempunyai kebenaran bertulis dari pengawal bekalan.

“Pihaknya mengambil tindakan tegas ke atas aktiviti penyelewengan yang dilakukan oleh mana-mana orang dan juga ke atas pengusaha stesen minyak,” katanya.

Beliau berkata jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda sebanyak RM 1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali manakala hukuman ke atas syarikat adalah denda tidak melebihi RM 2 juta.

Pihak KPDNHEP mengalu-alukan kerjasama daripada para pengguna untuk menyalurkan sebarang maklumat salah laku atau aduan melalui saluran yang disediakan bagi memastikan para peniaga sentiasa mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan.


Tag: