• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

KPDNHEP Rampas Barang Berjumlah RM400,000

Oleh: Nur Farah Amirah Hamzah

KUALA TERENGGANU, 24 Disember – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) negeri merekodkan sebanyak RM446,278 hasil nilai rampasan dan RM147,750 nilai kompaun daripada tindakan 569 kes di beberapa daerah sekitar Terengganu bagi tahun 2020.

Pengarah KPDNHEP, Saharuddin Mohd Kia berkata, Kuala Terengganu mencatatkan kes tertinggi iaitu 241 kes diikuti dengan 127 kes di Besut, 108 kes di Kemaman dan kes terendah di Dungun dengan 93 kes.

“Jumlah kes tersebut adalah mengikut statistik pemeriksaan yang merangkumi 49,777 pemeriksaan di seluruh negeri Terengganu pada tahun sama.

"Pecahan daripada jumlah data operasi tersebut melibatkan 22,169 pemeriksaan di Kuala Terengganu, 9,017 di Kemaman, 9,412 di Dungun dan 9,179 di Besut. Kesemua pemeriksaan ini melibatkan 4,007 bilangan premis," katanya ketika ditemubual pemberita.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelancaran Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Krismas peringkat Terengganudi Pasaraya PXR, Bukit Tunggal, Kuala Nerus, semalam.

Tambahnya, 15 kes telah disabit kesalahan dan dikenakan denda berjumlah RM192,300 untuk hukuman denda oleh mahkamah. Kesalahan ini tertakluk di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961, Akta Pelindungan Pengguna 1999 dan Akta Cap Dagangan 2019.

Sementara itu, Saharuddin turut menasihati para pengguna untuk menyalurkan sebarang maklumat salah laku atau aduan dalam memastikan para peniaga sentiasa mematuhi undang-undang ditetapkan melalui aplikasi telefon pintar, EzADU dan whatsapp ke 019-2794317.

"Aduan juga boleh diajukan di Portal e-aduan@kpdnhep.gov.my, talian telefon di 1800-886-800, e-mel menerusi e-aduan@kpdnhep.gov.my, di media sosial Facebook dan Twitter KPDNHEP Terengganu atau laporkan ke mana-mana pejabat KPDNHEP Negeri Terengganu," katanya lagi.