• 23 Apr 2024 | 14 Syawal 1445

KPDNHEP Sasar 15,200 Peniaga Kecil, Mikro Terima Manfaat ReDI

HULU TERENGGANU, 30 Oktober - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mensasarkan 15,200 peniaga kecil dan mikro di luar bandar seluruh negara akan menerima manfaat melalui pelaksanaan Program Inisiatif Pendigitalan Sektor Peruncitan(ReDI).

Timbalan Menterinya, Dato Rosol Wahid berkata pihaknya akan menjalinkan kolaborasi strategik bersama Kerajaan Negeri, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta setiap KPDNHEP negeri bagi melaksanakan program tersebut.

"Kita mensasarkan 100 peniaga (di setiap PBT) akan menyertai Program ReDI menjelang akhir 2022. 

"Sekiranya ini dapat dilaksanakan, kita yakin sasaran awal sebanyak 15,200 peniaga restoran, medan selera, gerai, peniaga pasar tani, pasar malam, pasar basah dan pasar borong, selain kedai runcit dan kedai pengkhususan di luar bandar seluruh negara akan menerima manfaat dan turut serta dalam memberi pilihan kepada pengguna,"ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Majlis Pelancaran Program Inisiatif Pendigitalan Sektor Peruncitan (Retail Digitalisation Initiative - ReDI) di Pasar Besar Kuala Berang, di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Setiausaha KPDNHEP, Dato Seri Hasnol Zam Zam Ahmad, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Berang, Dr Mamad Puteh dan Pengarah KPDNHEP negeri, Saharuddin Mohd Kia.

Tambah Rosol lagi, penggunaan e-wallet ini bukan sahaja memberi nilai tambah yang besar terhadap pengembangan perniagaan, tetapi juga dapat memastikan peniaga mempunyai pengurusan rekod kewangan yang lebih tersusun dan 
sistematik kerana dijana secara automatik.

"Selain itu, peniaga khususnya peniaga kecil dan mikro juga berpeluang merebut akses pinjaman mikro yang disediakan penyedia kemudahan E-Wallet ini,"katanya.