• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

KPDNHEP Serbu Tiga Premis Jual Barang Tiruan RM68,040

KUALA TERENGGANU, 13 September- Tiga premis berasingan iaitu sebuah premis di daerah ini dan dua lagi di Kuala Berang diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Terengganu selepas disyaki menjual barangan tiruan dalam operasi kira-kira 2 petang, semalam. 

Hasil serbuan, sejumlah 3,461 unit barangan terdiri daripada beg tangan dan pelbagai jenis pakaian berjenama yang disyaki dipakaikan cap dagangan secara salah bernilai RM68,040 dirampas. 

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna, Saharuddin Mohd Kia berkata, sebuan dijalankan pihaknya yang terdiri daripada tiga orang Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Negeri Terengganu dan tiga orang Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Cawangan Hulu Terengganu serta turut disertai oleh wakil pemilik cap dagang berdaftar. 

"Kita telah menahan dua orang warga tempatan berusia dalam linkungan 30-an di tempat kejadian (stor) bagi membantu siasatan. 

"Operasi yang dijalankan adalah susulan laporan daripada pemilik cap dagang berdaftar yang mengesyaki barangan berkenaan yang aktif diniagakan melalui media sosial adalah tiruan yang kemudiannya berjaya membongkar aktiviti peniaga yang tidak beretika sehingga mengabaikan kepentingan pengguna, " ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media berkaitan rampasan barangan berjenama tiruan itu di Stor Eksibit KPDNHEP Terengganu, Kawasan Perindustrian Chendering, hari ini.

Katanya, kes akan disiasat mengikut seksyen 102(1)(c) Akta Cap Dagangan 2019 iaitu mempunyai dalam milikan bagi maksud perdagangan barang-barang yang suatu cap dagangan berdaftar dipakaikan dengan salah.

"Jika sabit kesalahan, pesalah boleh didenda tidak melebihi RM10,000 bagi setiap barang atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

"Bagi pertubuhan perbadanan pula boleh didenda tidak melebihi RM15,000 bagi setiap barangan," katanya.

Mengulas lanjut katanya, KPDNHEP menggesa orang ramai supaya lebih berhati-hati dan bijak memilih barangan berjenama di pasaran supaya tidak terpedaya dengan taktik sesetengah peniaga yang tidak beretika yang cuba mengambil keuntungan dengan cara mudah. 

"Pihak KPDNHEP juga mengalu-alukan kerjasama daripada para pengguna untuk menyalurkan sebarang maklumat salah laku atau aduan melalui saluran yang disediakan bagi memastikan para peniaga sentiasa mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan, " ujarnya .