• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

KPDNHEP Siasat Penyelewengan Bekalan Minyak Masak

HULU TERENGGANU, 15 Januari - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP)sedang menyiasat kegiatan sesetengah pihak yang mencampur minyak masak subsidi dengan minyak masak terpakai bagi mengaut keuntungan.

Timbalan Menterinya, Dato Rosol Wahid berkata, kegiatan tersebut menjadi salah satu punca berlakunya kekurangan minyak masak paket di pasaran.

"Saya difahamkan harga sekilogram minyak masak terpakai untuk pasaran biodiesel ialah kira-kira RM4.50 manakala minyak masak bersubsidi dalam peket satu kilogram pula hanya RM2.50.

"Mereka mengaut keuntungan yang banyak dengan tindakan tidak bertanggungjawab ini.

"Pegawai dan anggota penguat kuasa sudah diarah melakukan siasatan dan mengambil tindakan ke atas sindiket berkenaan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membuat tinjauan di PJKM di perkarangan tempat letak kereta di Pusat Dagangan Ajil, di sini hari ini.

Turut hadir, Pengarah KPDNHEP negeri, Shaharudin Mohd Kia dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil, Maliaman Kassim.

Bagaimanapun, katanya, kekurangan minyak paket hanya berlaku di beberapa negeri seperti di Pulau Pinang dan Negeri Sembilan.

Tambah Rosol, sekiranya 
jika terdapat pembekal minyak masak yang melakukan kegiatan itu, lesen mereka akan digantung buat sementara

"KPDNHEP juga bersedia menambah kuota pengeluaran kepada syarikat pengeluar lain bagi memastikan bekalan minyak masak tidak terjejas,"ujarnya.

Menurut beliau lagi,  sebanyak 15 syarikat pemborong dan pembungkus semula minyak masak bersubsidi telah digantung lesennya manakala lesen lima lagi syarikat ditarik balik kerana pelbagai kesalahan yang dilakukan pada tahun 2020.