• 17 Apr 2024 | 8 Syawal 1445

KPDNHEP Terengganu Kekang Penyelewengan Petrol, Diesel Subsidi

KUALA TERENGGANU, 9 Jun - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Terengganu memberi perhatian serius dalam mengekang kegiatan penyelewengan petrol dan diesel bersubsidi di negeri ini.

Pengarahnya, Saharuddin Mohd Kia berkata, KPDNHEP telah mengambil tindakan terhadap tujuh kes membabitkan kesalahan gagal mematuhi Arahan Pengawal Bekalan di bawah Peraturan 12A Peraturan- Peraturan Kawalan Bekalan 1974 bermula 2019 sehingga kini.

“Ia melibatkan stesen minyak masing-masing dua di Marang dan Dungun sementara tiga di Dungun dengan nilai kompaun sebanyak RM18,500,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media Pematuhan Undang-Undang Stesen Minyak di Ria Indah Filling Station (Shell Wakaf Mempelam), hari ini.

Menurut beliau, sehingga Jun 2022, terdapat 160 buah stesen minyak yang beroperasi di dalam Negeri Terengganu dan pengusaha stesen minyak perlu memohon lesen daripada Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna sebelum memulakan pengoperasian. 

“Semua pengusaha stesen minyak yang dilesenkan dikehendaki mematuhi Arahan Pengawal Bekalan di bawah Peraturan 12A Peraturan- Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

"Arahan ini adalah jelas dan tiada alasan para pengusaha stesen minyak untuk tidak mengetahuinya kerana ia dicetak di bahagian belakang lesen yang dikeluarkan,” ujarnya.

Saharuddin berkata, antara arahan Pengawal Bekalan yang harus dipatuhi termasuk pemegang lesen bertanggungjawab memastikan bekalan petrol dan diesel di premis yang dilesenkan sentiasa ada dan cukup untuk jualan harian.

“Pemegang lesen tidak dibenarkan menutup stesen minyak kecuali dengan kelulusan daripada Pengawal Bekalan Malaysia.

“Pemegang lesen hanya dibenarkan menjual petrol dan diesel untuk tangki asal kenderaan dan industri yang mendapat surat kuasa yang dikeluarkan oleh Pengawal Bekalan Malaysia sahaja dan hendaklah merujuk dan mendapat kelulusan daripada Kementerian sebelum menaikkan harga petrol dan diesel,” ujarnya.

Katanya, mana-mana pengusaha stesen minyak yang melanggar Arahan Pengawal di atas boleh diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) dan jika disabitkan boleh didenda tidak lebih RM1,000,000 manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM3,000,000 bagi orang perseorangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

“Bagi syarikat sekiranya sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM2,000,000 manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5,000,000,” katanya.

Katanya, Kementerian juga akan mengambil tindakan tegas dengan menggantung sementara lesen pengusaha stesen minyak yang terlibat sehingga siasatan selesai dijalankan.

“Seramai 116 orang Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Terengganu sentiasa digerakkan untuk melaksanakan pemeriksanaan dan tindakan penguatkuasaan terhadap mana-mana orang dan pengusaha stesen minyak yang cuba melanggar perundangan berkaitan,” katanya.


 


Tag: