• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

KPDNHEP Terengganu Rampas Jam Tangan Casio G-Shock Tiruan

SETIU, 28 Julai - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Cawangan Besut telah menahan seorang lelaki warga tempatan yang disyaki menjual jam tangan tiruan menerusi Ops Jeriji di sebuah premis perniagaan di sini semalam.

Ketua Cawangannya, Azani Ismail berkata, dalam serbuan yang dijalankan kira-kira jam 12.00 tengah hari itu, sejumlah 125 unit jam tangan yang disyaki dipakaikan cap dagangan secara salah jenama Casio G-Shock bernilai RM2,500 telah berjaya dirampas.

"Operasi yang dijalankan adalah susulan laporan daripada pemilik cap dagang berdaftar yang mengesyaki jam tangan berkenaan adalah tiruan. Wakilnya turut menyertai serbuan yang dijalankan.

"Mereka berjaya membongkar aktiviti peniaga yang tidak beretika semata-mata untuk mendapatkan keuntungan dengan cara yang mudah sehingga mengabaikan kepentingan pengguna," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Seorang lelaki warga tempatan berusia 29 tahun telah ditahan di tempat kejadian bagi membantu siasatan yang dijalankan di bawah Seksyen 102 (1) (c) Akta Cap Dagangan 2019 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 102 (1) (ii) di bawah akta yang sama.

Jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM10,000 bagi setiap barang yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar atau dipenjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya.

Mengulas lanjut, kata Azani, bagi kesalahan kedua atau berikutnya, boleh didenda sehingga RM20,000 bagi setiap barang yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar atau dipenjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya. 

Sementara itu, pihak KPDNHEP Negeri Terengganu menggesa orang ramai supaya lebih berhati-hati dan bijak memilih barangan berjenama dalam pasaran supaya tidak terpedaya dengan taktik sesetengah peniaga yang tidak beretika yang cuba mengambil keuntungan dengan mudah.

Pihak KPDNHEP Negeri Terengganu mengalu-alukan kerjasama daripada pengguna untuk menyalurkan maklumat melalui saluran yang disediakan bagi memastikan para peniaga sentiasa mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan.


Tag: