• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

KPDNHEP Usaha Percepat Program Community Drumming, Penghantaran LPG Di Pulau Redang

HULU TERENGGANU, 24 Oktober - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah mencadangkan kepada Kementerian Kewangan (MOF) untuk melantik pembekal atau transporter secara rundingan terus, bagi mempercepatkan pelaksanaan semula program penghantaran gas memasak (LPG) dan Community Drumming ke Pulau Redang.

Timbalan Menterinya, Dato Rosol Wahid berkata langkah tersebut bagi menyelesaikan isu harga gas petroleum cecair atau gas memasak itu yang membebankan penduduk Pulau Redang, selepas kemudahan itu dihentikan kerajaan sebelum ini.

"Kita telah mengiklankan pembukaan tender untuk mencari dan melantik transporter bagi meneruskan semula program penghantaran LPG dan petrol serta diesel menerusi program Community Drumming.

“Tetapi tidak ada pembekal yang memohon. Jadi pihak KPDNHEP telah berbincang dan mencadangkan kepada MOF untuk membuat lantikan transporter secara kaedah rundingan terus sebagai usaha mempercepatkan pelaksanaan semula program ini di Pulau Redang.

“Kementerian berharap MOF akan bersetuju dengan cadangan tersebut kerana kita mahu memastikan rakyat di kawasan pedalaman dan luar bandar termasuk di pulau ini tidak terbeban dengan kos sara hidup sekarang, terutama ketika ramai yang terkesan dengan pandemik COVID-19," ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Jualan Koperasi Rakyat Felda Bukit Bading di Bangunan Koperasi Felda Bukit Bading, Ajil, hari ini.

Rosol berkata, melalui program itu, kerajaan akan menampung kos pengangkutan barangan keperluan dari bandar ke kawasan pedalaman, luar bandar dan pulau bagi membolehkan pengguna di kawasan berkenaan turut menikmati harga yang sama seperti di bandar.

Tambah beliau, kementerian sentiasa mendengar suara rakyat dan mengambil tindakan segera bagi menjamin kesejahteraan penduduk luar bandar, pedalaman dan pulau untuk mendapatkan barangan perlu pada harga sama sebagaimana dinikmati penduduk bandar.

Menurutnya,  Program Pengedaran Barang Perlu, LPG dan Community Drumming atau lebih dikenali sebagai Program Penyeragaman Harga di Pulau Redang pernah dilaksanakan kerajaan sejak 2012 hingga 2018.

Bagaimanapun, ia dihentikan seketika bermula awal 2019 hingga April tahun ini.

"Program Penyeragaman Harga membabitkan penghantaran empat barangan keperluan iaitu beras, gula, minyak masak dan tepung kemudian diteruskan semula pada Mei lalu bagi meringankan beban penduduk yang kebanyakannya terjejas sejak wabak pandemik Covid-19 melanda,” katanya.

Mengulas lanjut beliau berkata, kerajaan tahun ini membelanjakan sejumlah RM200 juta untuk Program Penyeragaman Harga di 802 kawasan di Sabah, Sarawak, Kedah, Kelantan, Terengganu dan Pahang.