• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

KPKK Rangka Tiga Strategi Untuk Golongan Pekebun Dan Penoreh Terjejas

KUALA NERUS, 24 Disember - Kementerian Perusahaan Peladangan dan Komoditi (KPPK) merangka tiga strategi untuk menjaga kebajikan golongan pekebun kecil dan penoreh getah yang terjejas pendapatan susulan harga getah yang rendah.

Setiausaha Politik Menteri KPPK, Mohd Kamal Nazmi Kamaruddin, berkata  kementeriannya akan mempergiat hebahan dan kesedaran kepada pekebun kecil agar memohon Insentif Pengeluaran Getah (IPG).

“Bagi tempoh Januari hingga Oktober 2020, sebanyak RM149 juta telah dibelanjakan untuk membiayai tuntutan IPG.

"KPPK juga menggalakkan pekebun kecil mengamalkan tanaman integrasi jangka pendek, sederhana dan panjang sebagai pendapatan sampingan,"ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam satu program bersama warga penoreh getah anjuran Pusat Khidmat Masyarakat DUN Tepoh dengan kerjasama Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Parlimen Kuala Nerus, baru-baru ini.

Dalam program berkenaan, seramai  260 penoreh getah yang terjejas mendapat sumbangan kewangan dan barang keperluan ekoran musim tengkujuh melanda daerah tersebut.

Sementara itu, Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Dr Khairuddin Aman Razali  ketika dihubungi berkata, hebahan ini untuk mewajibkan pekebun kecil menggunakan sistem RRIM Niaga yang akan berfungsi pada 1 Januari 2021 bagi memudahkan penyaluran IPG tanpa proses permohonan manual.

“IPG adalah mekanisme sokongan harga ladang dengan Paras Harga Pengaktifan (PHP) RM2.50 sekilogram getah sekerap atau RM6.10 sekilogram getah Standard Malaysian Rubber (SMR) 20.

“Sehingga kini, sebanyak 20 koperasi terlibat dalam urusniaga getah dan menawarkan harga cup lump pada purata RM0.10 sehingga RM0.20 sekilogram lebih tinggi berbanding pembeli getah lain,” katanya.