• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

KPKKT Salur Sumbangan Kepada Mangsa Banjir

DUNGUN, 8 Disember - Kumpulan Pengurusan Kayu Kayan Terengganu (KPKKT) menyalurkan sumbangan barangan makanan keperluan kering bernilai kira-kira RM 6,500 kepada Pusat Khidmat Masyarakat DUN (PKMD) Bukit Besi untuk diagihkan kepada mangsa banjir di kawasan berhampiran konsesi pembalakan itu.

Pengurus Besar syarikat berkenaan, Suhairi Sulong berkata, sumbangan itu merupakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) pihaknya bagi membantu PKMD Bukit Besi menggerakkan misi bantuan banjir kepada penduduk yang terkesan.

"Program CSR membantu mangsa banjir ini telah menjadi rutin kita saban tahun dan kali ini melibatkan 13 Majlis pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) di tiga buah mukim iaitu Mukim Besol, Mukim Jerangau dan Mukim Jengal.

"Cuma agihan kita pada tahun ini tidak sebagaiman biasa kerana kita telah menjadikan PKMD Bukit Besi perantaraan untuk mengagihkan sumbangan berkenaan," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan sumbangan tersebut kepada Pegawai Penyelaras DUN Bukit Besi, Ghazali Sulaiman di PKMD Bukit Besi, semalam.

Sementara itu, Ghazali berkata pihaknya berbesar hati menerima amanah bagi mengagihkan sumbangan berkenaan kepada mukim-mukim yang terlibat.

"Saban tahun KPKKT membantu mangsa banjir. Semoga ini akan terus maju serta mencapai keuntungan bagi memastikan penduduk kampung turut sama mendapat manfaat.

"Kita juga mengharapkan agar kolaborasi di peringkat DUN dengan agensi, jabatan atau syarikat-syarikat korporat akan lebih akrab supaya dapat terus menjalin kerjasama bagi membantu lebih ramai rakyat yang memerlukan," ujarnya.

 


Tag: