• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

KPPK Cadang Bina 20 Rumah IBS Kenaf Di 222 Parlimen

KUALA TERENGGANU, 12 September - Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) akan mengemukakan cadangan bagi membina 20 unit rumah menggunakan teknologi sistem binaan berindustri (IBS) berasaskan kenaf di seluruh 222 kawasan Parlimen.

Menterinya, Dato' Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali berkata, ia dijangka membabitkan kos keseluruhan sebanyak RM222 juta melalui peruntukan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) bagi pembinaan 4,440 unit kediaman dengan kos sekitar RM50,000 untuk sebuah rumah.

Katanya, untuk peringkat permulaan sebanyak tiga unit rumah IBS kenaf bakal dibangunkan di kawasan Parlimennya sebagai sampel pelaksanaan projek berkenaan.

“Perkara ini masih di peringkat cadangan dan saya akan berbincang dengan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dahulu dan jika dipersetujui, pembangunannya akan menggunakan peruntukan di bawah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU).

“Secara tidak langsung usaha ini dapat mengembangkan lagi penggunaan IBS kenaf dalam negara kerana teknologi ini terbukti sangat baik, sistematik, lebih tahan lasak, menjimatkan masa dan kos di samping mesra alam,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menutup Kursus Pengenalan Keusahawanan IBF Kenaf Terengganu di Hotel Paya Bunga (PB) di sini hari ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan dan Operasi), Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN), Idris Mohd. Salleh.

Mohd. Khairuddin berkata, pembinaan rumah IBS kenaf sebelum ini dirintis di Muar, Johor dan Melaka di samping projek terbaharu membabitkan penglibatan pihak swasta di Hulu Langat, Selangor.

Tambahnya, industri kenaf mempunyai potensi besar dan berdaya saing untuk dibangunkan termasuk pembinaan.

“Sehingga 31 Julai 2020, seluas 285.2 hektar kawasan di Terengganu telah dibangunkan dengan tanaman kenaf melibatkan 178 penanam.

“Tahun ini kita menyasarkan sebanyak 2,000 hektar kawasan penanaman kenaf baharu dan sedang bergerak ke arah itu termasuk mencari tapak bersesuaian bagi meluaskan tanaman kenaf termasuk di Terengganu dan Pahang,” katanya.