• 29 Apr 2024 | 20 Syawal 1445

KQT Berjaya Bikin Semula Warkah Emas DiRaja Terengganu

Orang ramai menyaksikan 'Ragam Hias' Mushaf al-Quran di Kompleks Muzium Negeri Terengganu. 
KUALA TERENGGANU, 5 September - Kolej Al-Quran Terengganu (KQT) berjaya melakukan pembikinan semula replika Warkah Emas DiRaja Terengganu dan iluminasi al-Quran berdasarkan falsafah kehalusan kaligrafi dan ragam hias atau iluminasi (zukhruf).

Ketua Pegawai Eksekutif KQT, Profesor Madya Dr Mohd Safri Ali berkata, seperti mana kemuncak keindahan tilawah al-Quran adalah melalui seni suara (tarannum) maka kemuncak keindahan penyalinan al-Quran adalah melalui kehalusan kaligrafi dan ragam hias atau iluminasi (zukhruf).

"Berdasarkan falsafah tersebutpihak KQT melalui Unit Kaligrafi, berusaha melestarikan warisan kesenian iluminasi Terengganu dan berjaya melakukan pembikinan semula replika Warkah Emas DiRaja Terengganu dan iluminasi Al-Quran Terengganu," jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan kata-kata aluan dalam Buku Cenderamata Sempena Majlis Perasmian Pameran Iluminasi dan Warkah Emas DiRaja Terengganu Anjuran Yayasan DiRaja Sultan Mizan (YDSM) di Kompleks Muzium Negeri Terengganu, di sini hari ini.

Beberapa orang pelajar sekolah turut tidak melepaskan peluang menyaksikan sendiri Seni 'Ragam Hias' Mushaf al-Quran yang dipamerkan di Galeri Khas Iluminasi dan Warkah Emas DiRaja Terengganu di Kompleks Muzium Negeri, Kuala Terengganu hari ini.
Majlis itu disempurnakan oleh Kebawah Duli Tuanku Al Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin Ibni Al-Marhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah.

Dr Mohd Safri mengucapkan sekalung tahniah kepada jawatankuasa penganjuran kerana berjaya merealisasikan sebuah pameran yang julung kalinya diadakan di negeri Terengganu.

Katanya, pihak KQT juga sangat menghargai kepercayaan yang telah diberikan oleh YDSM yang telah memilih KQT sebagai penganjur bersama pameran ini.

"Tidak lupa juga kepada pihak Muzium Negeri Terengganu, KQT mengucapkan jutaan terima kasih di atas penyediaan tempat pameran yang kondusif, secara langsung menjadikan pameran ini lebih berprestij.

"Kolaborasi ketiga-tiga institusi ini sangat penting dalam melestarikan khazanah warisan keilmuan Terengganu khususnya dan Alam Melayu umumnya," ujarnya.


Tag: