• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

KQT Lahirkan 'Hamalatul Quran'

KUALA TERENGGANU, 31 Mei- Kolej Al-Qur'an Terengganu (KQT) terus berperanan melahirkan hamalatul (penghafaz) Al-Quran sebagai modal insan yang menjadi harapan kerajaan negeri bagi menjadi penerus kesinambungan kepimpinan dan pembangunan negara pada masa hadapan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahri Mamat berkata, seramai 400 pelajar yang berjaya menamatkan pengajian pengajian diploma dalam bidang Tahfiz al-Qur'an dan Bahasa Arab, Tahfiz Al-Qur'an dan Qiraat serta graduan Kuliyyah Al-Furqan, masing-masing adalah menjadi kebanggaan kerajaan negeri.

"Kejayaan menjadi 'hamalatul Quran' pada zaman yang penuh mencabar ini bukan suatu yang mudah, Hanya insan yang nekad dan mampu memikulnya sahaja akan memperolehi nikmat dan kelebihan ini, adalah diharapkan agar kejayaan yang dicapai pada hari ini menjadi titik pencetus semangat buat para graduan untuk kelestarian hidup dan kerjaya.

"Sebagai umat Islam, mempelajari ilmu ini adalah wajib dan perlu diamalkan sepenuhnya dalam kehidupan jika kita bercita-cita mahu kembali mencapai tahap kegemilangan sebagaimana yang pernah dicapai oleh tamadun Islam pada kurun dahulu.

"Kehebatan tamadun dunia sama ada yang berkembang berkurun dahulu ataupun yang wujud mutakhir ini terletak pada kehebatan bangsa dalam mengilmukan budaya dan membudayakan ilmu," ujarnya.

Beliau  berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Imaratul Ilmi Ke-3 KQT, di Pusat Konvokesyen, Taman Tamadun Islam (TTI), di sini, semalam.

Turut hadir, Pengerusi Lembaga Pengelola KQT, Maliaman Kassim dan Ketua Eksekutif KQT. Prof Madya Dr. Mohd Safri Ali

Mengulas lanjut katanya, kerajaan negeri telah memperuntukkan pelbagai inisiatif bagi merealisasikan hasrat memacu kejayaan demi kejayaan dalam bidang pendidikan terutamanya untuk mentransformasikan KQT menjadi sebuah Kolej Universiti menjelang tahun 2025.

"Kampus baharu di Durian Mentangau sedang dalam proses untuk dibangunkan demi pembelajaran yang kondusif untuk anak-anak jati Terengganu khususnya dan anak-anak keluarga Malaysia secara amnya untuk menimba ilmu dalam pelbagai lapangan. 

"Saya akan memastikan KQT akan terus menjadi perhatian daripada pihak kerajaan kerana peranan besar yang telah dimainkan oleh institusi ini dalam meningkatkan ilmu pengetahuan rakyat daripada kumpulan B40 dan M40 melalui penawaran peluang pendidikan dalam bidang yang berteraskan agama ke arah melahirkan masyarakat yang memenuhi sifat-sifat dan ciri-ciri masyarakat madani," katanya.