• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Kreativiti, Inovasi' Agenda Utama Pendidikan Madrasah DAR

KUALA TERENGGANU, 7 Mac- Sekolah Rendah Islam (DAR) menjadikan kreativiti dan inovasi sebagai agenda utama dalam perancangan strategik memperkasakan institusi berkenaan agar terus menjadi pilihan utama rakyat negeri ini.

Pengarah Jabatan Persekolahan dan Tarbiah DAR Terengganu, Ibrahim Tahir berkata usaha berkenaan berupaya menyumbang kepada perubahan amalan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) demi menjamin kemenjadian murid selari dengan matlamat mencari keredaan Allah.

Ujarnya, bagi memastikan ia dapat direalisasikan pihaknya akan meningkatkan penyelidikan dalam pendidikan bagi memenuhi matlamat dan dasar kurikulum Madrasah Dar Terengganu agar terus relevan pada masa sekarang.

"Bagi memastikan keberhasilan kemenjadian murid dimaksimumkan, Madrasah DAR Terengganu berperanan memastikan murid dididik secara holistik melalui pengurusan sekolah yang cekap, berupaya mencapai potensi diri yang sepenuhnya dalam penguasaan pengetahuan dan kemahiran.

"Serta berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupyaan mencapai kesejahteraan diri, pendidikan al-Qur'an yang menjadi asas kekuatan pendidikan Madrasah DAR Terengganu perlu diperkasakan dengan bijaksana.

"Cabaran pendidikan semasa perlu ditangani dengan sebaiknya melalui pendekatan holistik agar harapan membentuk murid yang bijak melalui al-Quran dan mengamalkannya sebagai sumber 'dustur kehidupan' berjaya direalisasikan," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Resolusi Simposium Penyelidikan Madrasah DAR negeri Terengganu (SiPDAR) , di Dewan Konvesyen Taman Tamadun Islam, di sini hari ini.

Turut hadir, Ahli Dewan Negara, Senator Dato' Husain Awang Dan Ketua Dewan Ulamak PAS Negeri Tererengganu, Ismail Osman.

Mengulas lanjut Ibrahim berkata selain menekankan bahasa Arab di insititusi berkenaan ke arah melahirkan pelajar yang memahami dan mengamalkan al-Quran dalam kehidupan, pembelajaran dalam bidang akademik juga turut diberikan perhatian.

"Bagi menghasilkan pelajar yang seimbang dan mampu menterjemahkan wajah muslim sejati seperti hasrat kerajaan negeri, dalam merealisasikan Terengganu Maju, Berkat dan Sejahtera,"ujarnya lagi.

 


Tag: