• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Krisis Makanan : Pelan Pertanian Terengganu Jadi 'Penyelamat'

KUALA TERENGGANU, 28 Mei – Pelan Strategik Pertanian Terengganu 2019-2023 menjadi 'penyelamat' rakyat di negeri ini dalam berhadapan krisis makanan yang sedang melanda dunia.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata sebaik memasuki Wisma Darul Iman pada Mei 2018, beliau mendapati badan pertanian negeri tidak mempunyai sebarang pelan bertindak serta agenda 'setting' yang jelas.

"Maknanya kita bekerja tanpa halatuju, ke mana nak dibawa sektor Pertanian Negeri Terengganu ketika itu.

"Kita rangka Pelan Strategik Pertanian Terengganu dalam beberapa siri bengkel yang melibatkan semua pemain industri ini dari menara gading, jabatan-jabatan kerajaan, wakil-wakil industri sehingga petani, penternak dan nelayan turut dilibatkan. Maka lahirlah satu pelan yang saya istilahkan 'pelan daripada kita untuk kita'," katanya dalam satu kenyataan kelmarin.

Disebabkan itu katanya, Terengganu tidak terjejas teruk ketika bekalan makanan bermasalah ketika ini.

"Terengganu sudah melangkah jauh dalam agenda keselamatan makanan (food fecurity) negeri dengan pelancaran tersebut pada Ogos 2019 yang lalu.

"Ia merupakan sebuah agenda jangka pendek dan jangka panjang yang lebih menyeluruh berbanding hanya satu pasukan tugas (task force)," jelasnya.

"Menurut beliau, jawatankuasa ‘food security’ dan jawatankuasa Gedung Pengeluaran Makanan Negeri Terengganu adalah sebahagian dari Jawatankuasa Task Force yang ada didalam perlaksanaan Pelan Strategik Pertanian Terengganu 2019-2023,

"Ujian pertama kemampanan pelan strategik ini telah teruji dan terbukti berkesan ketika berhadapan bencana pandemik Covid-19. Ia tidaklah sebesar bencana peperangan atau bencana sekatan ekonomi. Namun, ia menyedarkan kita bagaimana keamanan negara yang dinikmati menjadikan kita leka dan selesa. Ketahanan kita dalam aspek food security terlalu rapuh.

‘’Beberapa bulan dilanda Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kita sudah goyah. Belum lagi dilanda bencana peperangan dan sekatan ekonomi bertahun-tahun,' ujarnya.