• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

KTSB Jana Pendapatan Baharu Terengganu

KUALA TERENGGANU, 15 Mac – Kerajaan negeri bakal menjana pendapatan tambahan baharu bernilai puluhan juta ringgit termasuk RM6 juta setahun daripada Kuala Terengganu Support Base (KTSB).

Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Pentadbiran negeri, Dato’ Tengku Hassan Tengku Omar berkata, KTSB telah ditubuhkan bagi mengelakkan Terengganu hanya bergantung kepada royalti petroleum.

Katanya, KTSB yang diwujudkan melalui anak syarikat kerajaan negeri, Epic Berhad dijangka beroperasi pada April ini.

“KTSB berfungsi sebagai satu hub pertukaran anak kapal untuk industri minyak dan gas di kawasan Kuala Terengganu.

“Pihak Epic juga sedang menilai beberapa pasaran berpotensi untuk memanfaatkan sepenuhnya kegunaan KTSB sebagai balai pelepasan dan ketibaan penumpang untuk kegunaan industry minyak dan gas serta pelancongan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemasik, Ir Saiful Azmi Suhaili di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Mesyuarat Keempat Penggal Kelima DUN ke-14, hari ini.

Menurut Tengku Hassan, selain itu pada 2022 Epic berjaya mendapatkan kontrak menyediakan perkhidmatan bot tunda.

“Ia diserahkan kepada Syarikat Petra Energy Development di kawasan pelantar minyak Banang, daripada itu kita jangka hasil sebanyak RM6.6 juta akan diperolehi dalam setahun,” jelasnya.

Tambah beliau, satu lagi anak syarikat EPIC, Epic OG Sdn Bhd sedang aktif membida projek minyak dan gas yang berpotensi bagi tahun 2023, pulangan hasil yang disasarkan adalah sebanyak RM70 juta setahun.

“EPIC juga turut memberi perhatian kepada beberapa projek baharu, salah satunya ialah perkhidmatan kemudahan limbungan pelupusan kapal dan struktur pelantar minyak (onshore deconstruction facility) di Pangkalan Bekalan Kemaman.

“Projek ini akan diterajui oleh salah satu anak syarikat EPIC, iaitu EPIC Marine Service Sdn. Bhd. (EPMS) dan mensasarkan pendapatan tahunan sebanyak RM15 hingga RM30 juta,” jelasnya.

 

 

 

 

 


Tag: