• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Kuarantin Di 'Houseboat', Jangan Sebar Berita 'Separuh Masak'

Ehsan Foto: Utusan Malaysia

HULU TERENGGANU, 13 Mac  - "Tindakan orang ramai yang menyebarkan maklumat tidak pasti berkaitan penularan COVID-19 khususnya di daerah ini bukan sahaja menimbulkan panik dalam kalangan masyarakat, malah mengeruhkan lagi keadaan," kata Pengerusi Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah), Dato' Razali Idris.

Beliau mengulas tentang tular di media sosial mengenai sekumpulan 24 pemancing yang bercuti ke Tasik Kenyir pada Khamis lepas terpaksa menjalani kuarantin sementara di sebuah rumah bot berikutan seorang daripada mereka disyaki positif COVID-19 dalam satu hantaran netizen di Facebook.

Katanya, orang ramai perlu merujuk kepada pihak berkuasa sama ada pihak polis ataupun Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terlebih dahulu bagi kesahihan maklumat
berkenaan.

"Saya dimaklumkan oleh Pengerusi Persatuan Pelancongan Tasik Kenyir, Zalani Endut bahawa lelaki itu dikehendaki datang menjalani saringan kesihatan di Hospital Hulu Terengganu selepas isterinya yang berada di rumah disahkan positif COVID-19 semalam.

"Akur dengan arahan itu, pihak persatuan telah mengesan lokasi rumah bot yang dinaiki lelaki tersebut dengan kerjasama Polis Gerakan Marin dan beliau telah pun menjalani ujian calitan di Hospital Hulu Terengganu pada 5 petang semalam," katanya.

Sementara itu, kesemua 24 penumpang rumah bot yang berasal dari Manir, telah pun dibenarkan pulang ke rumah masing-masing dan dipakaikan gelang kuarantin berwarna putih.

"Kesemuanya telah dibenarkan pulang pada tengah hari tadi dan akan menjalani kuarantin selama 11 hari sehingga keputusan ujian saringan lelaki tersebut diketahui tidak lama lagi.

"Begitu juga dengan pemandu dan empat kru di rumah bot itu yang akan menjalani kuarantin selama 11 hari di dalam rumah bot tersebut.

Menurut Razali, ini merupakan kes terpencil sahaja dan beliau yakin  pengusaha rumah bot di Tasik Kenyir akan sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang penularan wabak COVID-19 ini demi kebaikan semua pihak.

Justeru itu katanya, Tasik Kenyir masih selamat untuk dikunjungi ketika ini dan orang ramai tidak perlu bimbang mengenai khabar angin yang tersebar itu.