• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Kuatkan Pegangan Agama Hadapi Ujian Pandemik

KUALA TERENGGANU, 19 Julai - Masyarakat di negara ini perlu memperkuatkan pegangan agama dalam diri masing-masing dalam menghadapi pandemik Covid-19 yang begitu mencabar fizikal dan jasmani.

Pendakwah bebas, Syeikh Muhd Zainul Asri berkata, perkara itu perlu diambil berat setiap individu bagi mengelakkan berlaku perkara yang bertentangan dengan ajaran Islam dalam menyelesaikan masalah dihadapi termasuk membunuh diri.

Katanya, justeru semua pihak tanpa mengira fahaman politik perlu berganding bahu untuk memberi tumpuan khusus menyelamatkan masyarakat.

"Apa yang penting pada waktu ini ialah memikirkan bagaimana cara untuk mempertahankan akidah umat Islam agar mereka dapat menempuhi situasi seperti sekarang dengan mengikut panduan agama.

"Ini juga menunjukkan bahawa jihad adalah wajib pada waktu masyarakat menghadapi kekangan ini, terima kasih saya ucapkan kepada kerajaan Negeri Terengganu kerana menganjurkan Program Munajat Rakyat yang telah memasuki siri keenam bagi mendidik rakyat untuk terus memelihara iman serta tabah dalam menghadapi ujian ini," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika bersiaran langsung di TV Darul Iman (TVDI), Munajat Rakyat Terengganu Darul Iman 6.0 ; Tausiyah Perdana : Jihad Ummah Alaf Baru, baru-baru ini.

Dalam menghadapi alaf baru yang turut disifatkan oleh ulama sebagai akhir zaman, katanya masyarakat perlu sedar akan hikmah dan rahsia Allah bagi menguji keimanan manusia.

"Saya pernah diingatkan oleh guru saya yang pada mulanya sukar untuk difahami, katanya di waktu hadapan ilmu tasawuf menjadi keutamaan, hendak menanam keyakinan hidup bertuhan dalam jiwa.

"Sebab itu saya turut mencadangkan kepada para alim ulama khususnya, perlu buat sesuatu dengan menyampaikan ilmu secara atas talian untuk selamatkan orang ramai tidak boleh berkuliah di surau dan masjid pada waktu ini tidak menjadi halangan.

"Perlu diperjelaskan kepada rakyat mengenai isu yang berlaku pada ketika ini, juga sebagai persediaan untuk menghadapi hari mendatang yang mungkin lebih mencabar dengan kedatangan dajal andai tergelincir akidah dan keimanan. 

"Di mana jika hilangnya keimanan manusia sanggup mendapat bantuan daripada Dajal tanpa menghiraukan akidah telah tergadai demi hendak mendapatkan bantuan," katanya.

Oleh itu katanya, apa jua situasi dan krisis yang melanda umat Islam perlu yakin dengan pertolongan Allah, kerana setiap yang berlaku adalah didatangkan bagi meningkatkan kualiti keimanan.

 


Tag: