• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Kudung Kaki Tak Halang Warga Emas Dapatkan Vaksin

KUALA NERUS, 31 Julai – Kerisauan seorang pesakit kencing manis yang kudung kaki kanan mengenai kemungkinan tidak dapat hadir temu janji vaksin berakhir setelah dia berjaya mendapatan suntikan pencegah jangkitan COVID-19 itu di rumahnya semalam.

Mat Soh Mat San, 62, hilang sebelah kakinya setelah dipotong pada bulan Ramadan lalu akibat jangkitan di peha setelah mengalami kecederaan daripada kemalangan enam tahun lalu.

Katanya, dia yang tidak mampu lagi berjalan tanpa pertolongan sejak peristiwa pahit itu bersyukur kerana petugas vaksin datang ke rumahnya di Kampung Baru Pulau Redang.

“Saya telah mendapat vaksin dos pertama pada bulan Jun lalu di darat, kemudian saya mendapat panggilan untuk dos kedua selepas mendapat rawatan untuk kaki saya di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

“Mula-mulanya saya risau, tapi Alhamdulillah, petugas mari datang ke rumah saya untuk cucuk saya dengan vaksin, terima kasih kepada petugas kesihatan dan seluruh pihak yang sudi bantu saya,” katanya yang juga penghidap darah tinggi selepas ditemubual pemberita di sini, semalam.

Mat Soh merupakan antara 10 penerima vaksin yang disantuni petugas di rumah masing-masing daripada Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) dengan kerjasama Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan Pejabat Daerah Kuala Nerus. 

Dalam pada itu, seorang lagi penduduk yang mengalami sakit saraf sejak tiga tahun lalu, Muhammad Teh Hassan, 81, meluahkan rasa teruja apabila disuntik vaksin di kediamannya.

"Sekarang tidak boleh keluar dan perlu bertongkat jika ingin bergerak, terima kasih kepada petugas barisan hadapan sanggup datang ke rumah saya ini," katanya.

Sementara itu, Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri Batu Rakit, Mohd Shafizi Ismail berkata, pihaknya mendahulukan warga emas dan golongan tidak mampu bergerak sendiri dalam usaha pemvaksinan di sekitar kawasan itu.

“Antara usaha dijalankan Pusat Khidmat Masyarakat seperti turun ke Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) bagi memastikan setiap orang mendaftar untuk divaksin.

“Di samping itu, kita juga menghantar nama-nama penerima kepada pihak Kesihatan Daerah,” jelasnya.