• 14 Okt 2024 | 11 Rabiul Akhir 1446

Kuih Bakul Tradisional Lebih Digemari Masyarakat Cina

KUALA TERENGGANU, 19 Januari- Setiap kali menjelang Tahun Baharu Cina, kuih bakul sentiasa mendapat permintaan tinggi oleh masyarakat Tionghua terutama yang dibuat dengan kaedah tradisional.

Peniaga kuih bakul di Kampung Cina di sini, Benny Foo, 50, yang mewarisi kaedah tradisional membuat kuih bakul daripada nenek dan datuknya berkata, dia telah membuat hidangan yang sinonim dengan pelbagai pantang larang itu lebih kurang 35 tahun dan permintaan pada musim perayaan Tahun Baharu Cina kali ini amat tinggi.

Katanya, walaupun masyarakat Cina sudah melalui proses kemajuan, namun dalam menyediakan kuih bakul, masih ramai lebih mengutamakan yang dihasilkan secara tradisional untuk dihidangkan kepada keluarga dan tetamu.

“Kuih bakul yang diusahakan secara tradisional mengunakan tepung beras pulut yang dikisar sendiri dan dibungkus dengan daun pisang lebih diminati berbanding yang dibalut menggunakan plastik kerana aroma daun pisang lebih harum.

“Bagi mendapatkan kuih bakul yang berkilat dan berwarna keperangan, ia perlu dikukus lebih 10 jam dalam alat pengukus dengan kawalan api yang betul,” ujarnya ketika ditemui di kedainya, hari ini.

Menurutnya, harga kuih bakul yang dihasilkannya dijual pada harga RM23 sebiji untuk yang dibungkus menggunakan daun pisang dan yang dibalut plastik RM15 dan boleh disimpan selama beberapa bulan tanpa hilang keaslian rasanya.

Benny Foo berkata, baginya tidak lengkap sambutan Tahun Baharu Cina tanpa kuih bakul yang menjadi hidangan wajib setiap tahun, sepertimana masyarakat Melayu yang perlu ada rendang dan ketupat untuk hidangan di pagi Syawal.