• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Kukuhkan Institusi Perkahwinan Dan Kekeluargaan

DUNGUN, 21 Februari - Antara fokus kerajaan negeri menerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri adalah memperkukuhkan institusi perkahwinan dan kekeluargaan. 

Timbalan Pengerusinya, Alias Harun berkata, untuk mencapai matlamat tersebut kerajaan turut memperkasa wanita bagi kesejahteraan bersama, menjamin hak dan kesejahteraan kanak-kanak disamping meningkatkan kerjasama strategik dengan pihak berkepentingan untuk sistem sokongan yang berkesan dan menyeluruh.

"Jadi wanita adalah sebahagian daripada agenda sumber manusia yang tidak pernah diketepikan dan Program Suara Hati Wanita sebegini sangat baik untuk rakyat Terengganu menimba ilmu pengetahuan dari pelbagai sudut pengetahuan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Suara Hati Wanita bertajuk ' Bangkit Dari Sakit, I Am OK,'  di Dewan Majlis Perbandaran Dungun, di sini hari ini.

Program bual bicara yang membincangkan cara mengawal tekanan anjuran Urus Setia Wanita Terengganu (USWa), Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita dan Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera(i-MiTS) DUN Sura itu turut dihadiri Pengarah USWa, Wan Sakinah Din.

Menurut Alias, pengetahuan dan kefahaman dari pelbagai aspek kehidupan yang mantap dapat menyelesaikan banyak perkara kerana agama meletakkan wanita di satu tempat yang istimewa.

"Wanita mestilah sentiasa mencari ilmu dan bersedia menerima ilmu supaya setiap tindakan yang dilakukan terhadap wanita adalah berlandaskan hukum agama," katanya. 


Tag: