• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Kutip 936 Kilogram Sampah Dalam Masa Dua Jam

DUNGUN, 1 September- Sebanyak 936 kilogram sampah hanyut yang kebanyakannya sisa plastik berjaya dikutip dalam tempoh dua jam menerusi 'Program Pendekar dan Srikandi Merdeka Plogging' sekaligus mencatatkan rekod baru buat Geng Plastik Ija (GPI) Dungun.

Menurut jurucakap Unit Komunikasi Korporat Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA), aktiviti 'plogging' iaitu bersenam sambil mengutip sampah yang diadakan di persisiran Pantai Teluk Bidara kelmarin itu melibatkan 400 orang peserta daripada pelbagai pihak. 

"Sempena Sambutan Hari Kebangsaan ke -65 selain GPI Dungun, pelbagai pihak termasuklah UITM Dungun, PSMZA, Pejabat Daerah Dungun, SIG 3rd Hand Uitm Dungun, Sekolah Kebangsaan (SK) Batu 7, SK Batu 48, PERKESO Dungun, Majlis Perbandaran Dungun, Pejabat Tanah & Daerah Dungun, UCTATI, Staf Kolej Vokasional Dungun dan SK Balai Besar mengambil bahagian dalam aktiviti membersih pantai Teluk Bidara," ujarnya. 


Katanya, Majlis Menandatangani Jalinan dan Kerjasama antara Sekolah Kebangsaan Batu 7 dengan GPI , SIG 3rd Hand UiTM Cawangan Terengganu serta PSMZA juga diadakan pada hari berkenaan.

"Aktiviti 'plogging' adalah gabungan antara 'joging' dan mengutip sampah, sebahagian usaha yang berterusan dalam mewujudkan kerjasama dan penglibatan semua pihak dan masyarakat," ujarnya. .

 


Tag: