• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Labuh Unjam, Tingkat Pendapatan Nelayan

KUALA NERUS, 4 April - Kerjasama strategik antara kerajaan negeri dan Jabatan Perikanan Malaysia melabuhkan unjam komuniti nelayan Tanjung di perairan Kuala Terengganu hari ini diyakini mampu memberikan impak positif kepada nelayan.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, program melabuh unjam itu bertujuan menambah habitat pelbagai spesies ikan sekaligus meningkatkan pendapatan nelayan sekitar.

“Program memperkayakan sumber perikanan pada hari ini melibatkan 22 orang nelayan Tanjung, Pangkalan Kuala Terengganu yang menggunakan peralatan kail mengail, bubu dan pukat hanyut.

“Sebanyak 40 unit unjam dijalankan secara bergotong-royong bersama ahli komuniti perikanan sehari sebelum program melabuh unjam,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Melabuh Unjam Nelayan Tanjung dan Perasmian Jeti Nelayan Kampung Batin di jeti tersebut, hari ini.

Turut hadir, Pegawai Penyelaras DUN Seberang Takir, Mohd Fazil Wahab.

Menurut Dr Azman, kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM160,000 tahun ini bagi pembangunan unjam di seluruh Terengganu.

“Sebanyak 280 unit unjam akan dilabuhkan di tujuh kawasan yang terlibat di mana Kuala Terengganu (nelayan Tanjung), Kuala Nerus (Batu Rakit), Setiu (Pangkalan Bari), Besut (Kuala Besut), Marang (Pasir Putih), Dungun (Kampung Sura) dan Kemaman (Kijal) yang mana setiap kawasan dilabuhkan 40 unit unjam seperti hari ini,” ujarnya.

Katanya, program melabuh unjam yang telah dilaksanakan sejak beberapa tahun lalu ternyata memberi impak positif kepada sumber perikanan negeri ini.

Sementara itu, mengulas mengenai Jeti Nelayan Kampung Batin beliau menyifatkan infrastruktur untuk kegunaan nelayan itu walaupun dilihat kecil berbanding kemudahan lain, ianya cukup bermakna buat komuniti terbabit.

“Jeti yang dibina November lalu dengan kos kira-kira RM100,000 dan siap dalam tempoh tiga bulan sebenarnya keperluan penting buat nelayan disini. 

“Sebenarnya tidak perlu kepada projek megah yang tidak dapat mereka nikmati, sebaliknya jeti ini lebih bernilai dan memberi manfaat kepada sekitar 20 bot nelayan di kawasan ini,” ujarnya.