lightning-solid
Berita :
Ladang Kelapa Di Semporna Jadi Rujukan Projek 1,000 Ekar Di Setiu
Ladang Kelapa Di Semporna Jadi Rujukan Projek 1,000 Ekar Di Setiu
Ariss Alias
2 jam yang lepas
49

SETIU, 5 Ogos — Lawatan kerja ke Ladang PJ Nagus di Semporna, Sabah dijadikan rujukan bagi memperhalusi cadangan pelaksanaan projek tanaman kelapa seluas kira-kira 1,000 ekar di Sungai Tongkat, Setiu. 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Langkap, Azmi Maarof berkata lawatan itu memberi peluang kepada delegasi meneliti amalan terbaik dalam pengurusan ladang, kaedah penanaman serta operasi projek yang telah berjaya sebagai panduan dalam pembangunan projek berkenaan di Terengganu. 

Katanya, lawatan itu turut disertai Pegawai Daerah Setiu,Tuan Haji Yusaini Amir Mohamad Nor, Pegawai Daerah Dungun, Tuan Fadli Yusof Zakaria,  wakil agensi kerajaan serta pihak Malaysian Kuwaiti Investment Co. Sdn. Bhd. (MKIC).

"Lawatan ini merupakan kesinambungan kepada beberapa siri perbincangan yang telah diadakan sebelum ini bagi memperhalusi cadangan pelaksanaan projek tanaman kelapa di Sungai Tongkat.

"Kita perlu turun padang melihat sendiri projek yang telah berjaya supaya pengalaman dan amalan terbaik dapat dijadikan panduan dalam merealisasikan projek di Terengganu," katanya selepas lawatan berkenaan.

Jelas beliau, sekiranya perancangan berjalan lancar, projek tanaman kelapa di kawasan seluas kira-kira 1,000 ekar itu dijangka mampu merancakkan sektor pertanian negeri di samping mewujudkan peluang pekerjaan baharu, menggerakkan ekonomi setempat dan memberi manfaat kepada penduduk khususnya di daerah Setiu. 

Azmi turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat atas kerjasama serta perkongsian pengalaman sepanjang lawatan itu dan berharap usaha berkenaan dapat dipermudahkan demi pembangunan sektor pertanian Terengganu.


Tag :

Artikel Berkaitan