• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Ladang Ternakan Rusa Bakal Wujud Di Setiu


Oleh: Hidayah Azlin

SETIU, 4 Februari - Kerajaan negeri bakal membina sebuah ladang ternakan rusa di daerah ini bagi merancakkan industri itu di Terengganu sesuai dengan peruntukan dalam Bajet 2020.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani Dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, pengubahsuaian kepada Ladang Ternakan Haiwan di Chalok akan dilakukan dalam beberapa masa lagi selepas proses kajian dibuat.

Katanya, antara kemudahan perlu disiapkan di kawasan berkenaan adalah struktur pagar siklon (cyclone) setinggi enam kaki yang mempunyai daya lenturan bagi mengelakkan kecederaan kepada rusa.

“Dengan ketinggian enam kaki itu ia sudah mencukupi dan tidak mampu dilepasi oleh rusa,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Mengulas lanjut, beliau memaklumkan kawasan yang dipagar itu juga perlu dibahagikan kepada beberapa sektor ragutan bagi memudahkan aktiviti untuk haiwan itu dilakukan secara bergilir-gilir dan teratur.

“Kawasan ragutan itu juga perlu ditanam dengan rumput bermutu seperti rumput jenis ‘pasture humidicola’.

“Selain itu, pokok-pokok hutan yang besar sebahagiannya perlu dibiarkan sebagai tempat rusa berteduh dan berehat dan memberi suasana hutan yang hampir sama dengan habitat asalnya,” jelasnya.

Dalam pada itu, Dr Azman turut berkata, spesies rusa ‘Timorensis’ telah menjadi pilihan atas beberapa sebab terutamanya penjagaan yang mudah, tahan penyakit dan cepat membiak.



Tag: