• 24 Apr 2024 | 15 Syawal 1445

Lahirkan Kesedaran Semarak Kemerdekaan -Wan Sukairi

KUALA TERENGGANU, 27 Ogos - Menjelang sambutan Hari Kebangsaan ke-63 empat hari lagi, kerajaan negeri menyarankan seluruh rakyat Terengganu bersama-sama menyemarakkan kempen sambutan kemerdekaan dengan memasang bendera di premis kediaman dan kedai masing-masing.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, kerajaan negeri lebih suka mengambil pendekatan kesedaran yang datang daripada masyarakat sendiri untuk menyemarakkan kemerdekaan.

"Itu yang lebih penting. Kalau mereka sedar, kita tidak perlu arah pun mereka akan pasang, semangat ini memang perlu ada dalam diri kita. Sesuai dengan keadaan negara yang berdepan cabaran Covid-19 ini, kita tidak mahu ambil pendekatan menguatkuasakan pemasangan bendera.

Wan Sukairi menyerahkan bendera kepada salah seorang daripada wakil MPKK-MPKK di DUN Wakaf Mempelam.

"Saya rasa, Jalur Gemilang ini ramai di antara kita bukannya pasangkan setiap hari, jika begitu lebih baik. Hanya sempena kempen bulan kemerdekaan, jadi kita harap ada kesedaran dan semangat daripada rakyat sendiri.

"Appalah sangat harga sehelai Jalur Gemilang jika hendak dibandingkan dengan tanggungjawab yang perlu dilahirkan rakyat untuk menunjukkan kasih dan cinta kita kepada negara kita," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Program Merdeka @ Komuniti dan Kempen Kibar Jalur Gemilang daerah Kuala Terengganu di Dewan Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Wakaf Mempelam, hari ini. 

Jelasnya, program usaha sama pusat khidmat bersama Jabatan Penerangan Malaysia Negeri Terengganu (Penerangan) dan Pejabat Daerah Kuala Terengganu dimulakan dengan kayuhan sejauh lapan kilometer oleh kira-kira 250 peserta di kawasan Wakaf Mempelam dan berhenti di beberapa tempat seperti sekolah serta kedai-kedai bagi menyampaikan Jalur Gemilang l[epada masyarakat.

"Insya-Allah, dengan sambutan ini rakyat akan menyemarakkan lagi kempen menaikkan bendera di premis masing-masing samada kedai atau kediaman untuk kita menaikkan semangat patriotik kasih dan sayang kita kepada negara.

"Di samping kita agihkan Jalur Gemilang kepada masyarakat dan pelajar-pelajar. Kita juga mneyerahkan bendera kebangsaan itu ke kedai yang kita singgah dan kita harap kedai-kedai lain yang tidak menerima agihan ini turut mengibarkan Jalur Gemilang sempena kemerdekaan ini," katanya.

Sementara itu, Penolong Pengarah Penerangan Terengganu, Mohd Othman Abu Bakar menyatakan kekecewaan berkenaan peristiwa-peristiwa melibatkan pemasangan bendera terbalik dan isu-isu patriotik.

"Jabatan Penerangan samada di negeri atau persekutuan telah melaksanakan pelbagai program berbentuk patriotik serta panduan cara memasang bendera saban tahun tetapi, masih ada yang tidak faham.

"Ini satu perkara yang sangat mendukacitakan dan kita harap pihak terbabit lebih prihatin, jika tidak tahu rujuk dahulu. Isu yang sangat sensitif ini tidak patut berlaku.

"Bendera adalah lambang kedaulatan sesebuah negara, kita sebagai rakyat Malaysia jangan mengambil mudah dalam menyantuni bendera kita seperti gantung bendera yang sudah lusuh, membiarkannya di lantai serta memasang secara terbalik," pesannya.

Tambahnya, bendera merupakan satu simbol yang utama sesebuah pemerintahan, mana-mana negara sekali pun.

"Dalam contoh mudah, perkara pertama seseorang atlet lakukan apabila memenangi perlawanan ialah menjulang bendera negaranya sebagai bukti cintanya, menunjukkan bendera itu penting.

"Pastikan bendera yang kita dipasang dipantau selalu, gantikan dengan yang baru jika sudah lusuh sebagai memartabatkan bendera. Ini sikap yang perlu ada dalam masyarakat," katanya.

 

 


Tag: