• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Laksana Penguatkuasaan Terhadap LGBT Bukan Ancaman

KUALA TERENGGANU, 18 Julai - Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr. Zulkifli Al-Bakri menjelaskan pelaksanaan penguatkuasaan terhadap kumpulan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) bukan merupakan satu ancaman kepada golongan tersebut.

Jelasnya, ia sekadar pemerkasaan dari sudut pelaksanaan Jabatan Agama Wilayah Persekutuan (JAWI) yang mempunyai penguatkuasaan, pendakwaan dan sebagainya. 

"Seperti apa yang sedia ada dalam enakmen-enakmen setiap negeri, boleh dilaksanakan selama mana mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) dan saya amat tekankan mengenainya.

"Sebagaimana kita tengok pihak Polis dan pihak berkuasa lain menjalankan SOP mereka dengan baik, begitulah seharusnya bagi bahagian penguatkuasaan agama di negeri-negeri," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas program Seminar Murabbi Ummah di Duyong Marina & Resort, hari ini.

Tambahnya, kerajaan juga telah menyatakan kesediaan untuk bertemu dan berbincang dengan kumpulan berkenaan bagi memberi kefahaman berkaitan isu berkenaan.

"Kita akan ada dialog dan perbincangan dan akan cuba menjelaskan pada mereka hasrat kita selain sedia mendengar penjelasan mereka.

"Bukanlah kerja kita nak tangkap setiap orang. Kerja kita ialah melihat setakat mana kesilapan yang kadang-kadang boleh mempengaruhi masyarakat, dari segi norma kehidupan manusia itu sudah dilanggar," katanya.

Beliau juga menegaskan akan mengusahakan tindakan sepatutnya kepada sebahagian individu transgender yang dilihat sewenang-wenangnya memberikan pengaruh kepada masyarakat.


Tag: