Laksana Strategi Tangani Pencemaran Tapak Pelupusan Sampah
KUALA TERENGGANU, 16 April – Pihak berkuasa tempatan (PBT) melaksanakan beberapa inisiatif dalam menangani isu pencemaran tapak pelupusan dan alam sekitar yang kian membimbangkan termasuk memperluas program guna semula barangan, pembelian e-waste, serta galakan pengkomposan sisa organik.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, ia selaras dengan aspirasi Dasar Kebersihan Negara dan pelaksanaan ekonomi kitaran (circular economy) yang digariskan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), kerajaan negeri Terengganu melalui PBT telah menggandakan pelbagai inisiatif bagi menangani isu ini secara bersepadu.
“Beberapa inisiatif telah dilaksanakan oleh PBT bagi mengurangkan sisa tidak boleh dikitar semula, antaranya program Pasar Percuma anjuran Majlis Perbandaran Dungun (MPD) pada 22 Mac 2025. Program ini memanfaatkan teknik guna semula (reuse) bagi barangan seperti pakaian, kasut, mainan dan peralatan elektrik, sekali gus membantu mengurangkan sisa ke tapak pelupusan.
“Pelaksanaan program pembelian barangan e-waste seperti yang telah dilaksanakan sepanjang tahun di Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) merupakan salah satu inisiatif bagi mengurangkan sisa yang tidak dapat dikitar semula berakhir di tapak pelupusan.
“Kompos Sisa Organik: Sisa makanan dan sisa kebun atau taman boleh dijadikan baja dengan kaedah pengkomposan dan ia dapat mengurangkan 40-50 peratus sisa organik di tapak pelupusan,” jelasnya.
Beliau berkata demikian semasa sesi penggulungan di Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelima Belas di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.
Tambahnya, usaha mengurangkan sisa tidak boleh dikitar semula memerlukan kerjasama antara PBT, komuniti dan pihak swasta contohnya melalui Program Pasar Percuma (Reuse), pembelian barangan e-waste, Pengkomposan sisa organic dan larangan penggunaan plastik sekali guna.
Justeru itu, kempen Larangan penggunaan plastik sekali guna di semu pasar raya dan premis kekal pada setiap hari jumaat dan sabtu.