• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Laksana Tanggungjawab Mengundi, Serlahkan Semangat Patriotik

DUNGUN, 20 September- Mendaftarkan diri sebagai pengundi kali pertama merupakan tanggungjawab yang mesti dijalankan oleh setiap rakyat Malaysia yang berumur 21 tahun keatas sebagai menzahirkan jiwa patriotik yang mahu meletakkan negara berada didalam keadaan yang baik.

Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman, berkata setiap rakyat perlu celik melihat kepentingan menjadi pengundi kerana sebagai sebuah negara demokarasi berparlimen cara demikian menentukan nasib pemerintahan negara.

"Semua orang sedar akan keadaan sepanjang Pakatan Harapan (PH) memerintah negara, setelah 22 bulan memberi kesan yang sangat buruk didalam sejarah pemerintahan negara mereka tiada visi untuk rakyat dan dalam keadaan politik yang tidak stabil ini maka sudah tentu mandat akan diserahkan kembali kepada rakyat, dan ini masa yang sesuai untuk diadakan pilihanraya.

"Jadi disini pentingnya tanggungjawab mendaftarkan diri sebagai pengundi, jangan hanya niat dengan hati sahaja untuk melihat negara stabil dari sudut politik sedangkan tanggungjawab sebagai pengundi tidak dijalankan, masih lagi tidak mendaftarkan diri terutama di kalangan anak muda yang sudah pun berusia 21 tahun," ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pihak media selepas pelancaran jentera pilihan raya yang telah disempurnakan oleh Naib Yang DiPertua PAS Kawasan Dungun bagi peringkat DUN Bukit Besi, di Dewan Sivik Jerangau, semalam.

Kata Ghazali pihaknya telah berusaha sedaya upaya bagi memudahkan anak muda di DUN berkenaan tidak terlepas dari menjalankan tanggungjawab berkenaan.

"Dengan mana kita telah membuat secara 'rotate' bagi mengadakan Gerak Gempur Daftar Pemilih di setiap tempat yang menjadi tumpuan dengan kerjasama daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di pasar-pasar awam, pasar minggu, pasar malam atau pelbagai lokasi yang kita fikir sesuai untuk memastikan pendaftaran sebagai pemilih atau pengundi dapat dilakukan dengan mudah.

"Anak muda perlu untuk didorong dan dicelikkan dengan politik dengan cara yang mudah dan senang, kerana golongan anak muda pada masa kini mereka dilihat mahukan segala-galanya dapat dilakukan dengan mudah dan senang, disamping perlu diberi penerangan dan pendedahan kepada mereka melalui media sosial secara berterusan agar dapat menyuntikkan kefahaman yang baik supaya mereka menjadi pengundi yang bijak bagi menentukan masa depan negara," ujarnya.

Selain itu katanya, PAS Bukit Besi telah melancarkan Jentera Pilihan Raya di Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi sebagai tanda persediaan bagi menghadapi pilihanraya di peringkat parlimen yang dijangka akan berlaku pada bila-bila masa sahaja.


Tag: