Laluan Pelayaran Muara Merang Hanya Untuk Sementara

KUALA TERENGGANU, 13 Mac - Setiap tahun selepas musim tengkujuh berakhir, kerajaan negeri, komuniti nelayan dan pihak berkepentingan di muara Merang berdepan dengan satu tugas penting yang telah menjadi rutin tahunan mereka - menggali muara yang tertimbus akibat mendapan pasir.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Terengganu, Dr. Azman Ibrahim berkata, tindakan menggali muara selepas musim tengkujuh itu bukanlah sebagai satu langkah penyelesaian jangka panjang.

"Sebelum ini tiada sebarang projek mendalamkan muara dan pembinaan benteng pemecah ombak yang diluluskan. Sebab itulah semua langkah bersifat sementara.

"Kini sukacita dimaklumkan pada tahun 2023 dalam RMKe-12, apa yang ditunggu selama ini oleh warga Merang, kita telah berhasil mendapatkan kelulusan sebanyak RM239 juta.

"Projek bernilai ratusan juta untuk membina breakwater dan mendalamkan Muara Merang sedang dalam proses reka bentuk. Ia akan menjadi 'turning point' kepada masalah puluhan tahun yang telah dihadapi," jelasnya.

Mengulas lebih lanjut, Azman menegaskan bahawa penglibatan warga Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Mukim Merang sebagai pengguna utama muara ini memainkan peranan penting untuk menguruskan usaha penggalian sementara itu.

Hal ini kerana, beliau berpendapat bahawa mereka lebih arif dengan segala pergerakan pasir dan aliran air di kawasan tersebut.

Muara Merang merupakan pintu masuk utama bagi nelayan dan pelancong ke beberapa destinasi terkenal seperti Pulau Redang, Pulau Bidong, dan Pulau Lang Tengah.

Namun, berbeza dengan pantai lain yang sering berhadapan dengan hakisan, Muara Merang berdepan dengan masalah sebaliknya, iaitu pemendapan pasir yang menyebabkan laluan perairan menjadi cetek dan sukar dilalui oleh bot serta kapal.

“Fenomena ini bukanlah sesuatu yang baru, malah telah berlanjutan sejak puluhan tahun.

“Setiap kali musim tengkujuh melanda, ombak kuat membawa timbunan pasir ke muara, menyebabkan laluan utama menjadi cetek dan tidak selamat untuk dilalui.

“Ini mengakibatkan nelayan mengalami kesukaran untuk keluar ke laut, manakala sektor pelancongan turut terjejas akibat bot pelancong tidak dapat beroperasi seperti biasa.

Beliau berkata demikian menerusi satu hantaran Facebook rasminya, baru-baru ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi itu juga menaruh harapan dengan pelaksanaan projek besar itu di masa hadapan, komuniti nelayan serta sektor pelancongan di Muara Merang bakal menikmati manfaat jangka panjang.

Sekali gus memastikan kelangsungan ekonomi setempat tidak lagi terganggu akibat masalah mendapan pasir tahunan.


Tag: