• 03 Mei 2024 | 24 Syawal 1445

Langkah Berjaga-jaga Atasi Tanah Runtuh Bukit Kecil Diambil

KUALA TERENGGANU, 23 Disember - Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) sedang mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengatasi kejadian tanah runtuh berhampiran Flat Bukit Kecil.

Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim ketika ditemui berkata, kerja-kerja pemasangan kanvas akan dilakukan segera.

Katanya, taburan hujan yang tinggi telah menyebabkan runtuhan tanah semakin teruk dan runtuhan baru telah berlaku di kawasan sekitar.

"Dimaklumkan permohonan sebanyak RM3 juta telah dikemukakan kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan bagi kerja-kerja pembaikan tanah runtuh.

"Saya telah berhubung dengan Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri bin Mokhtar memaklumkan masalah tanah runtuh ini,

"Alhamdulillah respon yang baik daripada Menteri Besar, peruntukan khas akan disalurkan untuk kerja-kerja pemasangan kanvas," tambahnya lagi.

Pada 21 Disember lalu, lawatan segera telah dibuat di tapak kejadian dengan disertai oleh Pegawai Daerah/Pentadbiran Tanah Kuala Terengganu, Azran Amin Mazlan, ADUN Ladang, Zuraida Md Noor serta pegawai-pegawai jabatan kerajaan yang berkaitan.

ADUN Ladang ketika ditemui menasihati semua penduduk agar sentiasa berjaga-jaga kerana Monsun Timur Laut atau musim tengkujuh di negara ini dijangka berterusan sehingga Mac 2024.

"Penduduk diminta untuk sentiasa peka terhadap sebarang arahan dan makluman pihak berwajib," katanya.


Tag: