• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Lantik DDW, DDR Tambah Had Simpanan Bekalan Sepanjang Banjir

KUALA TERENGGANU, 24 November- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melantik 86 pemborong utama (DDW) dan 162  peruncit terpilih (DDR) di setiap daerah di Terengganu bagi memastikan keperluan asas mencukupi ketika musim banjir.  

Pemangku Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali berkata DDW dan DDR yang dipilih dibenarkan menyimpan stok sehingga 30 peratus daripada had simpanan lesen CSA sehingga berakhir tempoh MTL pada bulan Mac 2024.

"Penyelarasan telah dibuat melibatkan Pemborong Terpilih Daerah (DDW) dan Peruncit Terpilih Daerah (DDR) bagi memastikan keberadaan bekalan sentiasa mencukupi bagi menghadapi bencana bajir termasuk tempoh sebelum, semasa dan pasca banjir.

"Dalam melaksanakan pelan kontigensi banjir, pihak KPDN telah melantik rantaian pengedaran di peringkat pemborong dan peruncit bagi menambah stok barang kawalan berjadual yang terkandung dalam Lesen Barang-Barang Kawalan Berjadual (CSA)," ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas melawat pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Atas Tol, di sini, hari ini.

Sementara ituz beliau yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) berkata, 
semua Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) yang terbabit dengan banjir disarankan untuk mengemas kini senarai ketua isi rumah (KIR) yang terlibat serta-merta ekoran terdapat PPS yang telah ditutup di beberapa negeri termasuk Terengganu.

Tambahnya, JPBD dinasihatkan agar bekerjasama rapat dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang bertanggungjawab terhadap pengurusan PPS untuk memastikan perekodan maklumat yang lengkap dapat dibuat semasa mangsa berada di PPS untuk membolehkan proses semakan dapat dibuat pada kadar segera. 

“Rekodkan maklumat KIR yang terlibat secepat mungkin, dapatkan pengesahan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), selaraskan dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk senarai tersebut diteliti bagi memudahkan saluran Bantuan Wang Ihsan (BWI) kepada mangsa.

“Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) telah menyalurkan peruntukan asas kepada agensi di peringkat negeri yang boleh digunakan serta-merta untuk menyalurkan BWI kepada KIR sebaik sahaja senarai nama itu telah disemak dan disahkan," katanya lagi.

Menurut Armizan, NADMA juga memberikan komitmen untuk menyalurkan peruntukan bagi penyaluran BWI sekiranya peruntukan diperlukan mengambil kira jumlah KIR yang terlibat.