• 24 Apr 2024 | 15 Syawal 1445

Lantik Konsesi Tangani Pemendapan Pasir Di Pelabuhan Chendering

KUALA TERENGGANU, 24 Mac – Kerajaan negeri  telah melantik konsesi penggerukan pasir di pelabuhan Cendering bagi menangani isu pemendapan pasir yang menyebabkan kawasan untuk masuk ke pelabuhan menjadi cetek.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata ia bagi meningkatkan kembali status dan fungsi pelabuhan yang semakin pudar susulan pendaratan semakin kurang.

“Kedalaman yang diperlukan oleh vesel laut dalam untuk berlabuh adalah sedalam lima meter, namun pemendapan pasir ini telah menyebabkan kedalaman pelabuhan ini semakin cetek kepada tiga meter. 

“Pemendapan ini berpunca daripada benteng breakwater sedia ada tidak berfungsi dengan baik (bocor) jadi kita akan  penggerukan tersebut  dalam masa terdekat,”ujarnya

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Muhammad Khalil Abdul Hadi dalam Mesyuarat Pertama Penggal Kelima, Dewan Undangan Negeri (DUN), Keempat Belas, di Wisma Darul Iman, pada hari ini.

Dalam masa yang sama, kerajaan negeri juga bercadang menjadikan  Projek Pembangunan dan Pemerkasaan Pelabuhan LKIM Chendering (PLC) sebagai projek utama dalam permohonan di Bawah Rolling Plan Ketiga (RP3) Tahun 2023 Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12).

Dr Azman berkata, permohonan ini melibatkan RM192 juta daripada kerajaan pusat bagi penambahbaikan dan pembangunan pelabuhan itu.

“Peruntukan itu melibatkan kerja-kerja menaiktaraf benteng pemecah ombak (breakwater) sedia ada, pembinaan breakwater dan menaiktaraf insfrastruktur  fasiliti yang ada.

“Terdahulu,  Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) juga telah melawat PLC ini dalam lawatan kerja beliau di Terengganu pada 24 Januari 2022 lepas bagi melihat sendiri isu serta masalah disini… dan semoga mendapat perhatian daripada kerajaan pusat dengan segera,”ujarnya.