• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Lapan Pelumba TSG Terima Geran Tanah

KUALA TERENGGANU, 11 Januari - Kerajaan Terengganu telah menganugerahkan geran tanah kepada lapan pelumba Terengganu Cycling Team (TSG) sebagai menghargai jasa mereka mengharumkan nama negeri di persada antarabangsa.

Penerima pemberian tersebut ialah Muhammad Zulhilmie Afif Ahmad Zamri, Mohd Harrif Saleh, Muhd Shaiful Anuar Azis,Mohd Nor Umardi Rosdi, Muhamad Adeq Husainie Othman, Mohd Shahrul Mat Amin, Nur Amirull Fakhruddin Mazuki dan kapten pasukan, Mohd Zamri Saleh.

Menteri Besar, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar menegaskan, sumbangan tersebut adalah penghargaan kepada kejayaan TSG secara umumnya dalam melonjakkan nama Terengganu ke mata dunia.

 

"Penganugerahan tanah itu merupakan satu komitmen sedia ada kerajaan negeri yang memang sudah lama diberi sebelum ini, bukan baru lagi.

"Para pelumba ini telah begitu lama membawa naik nama Terengganu ke peringkat antarabangsa dan kesannya sedikit sebanyak turut memperkenalkan Terengganu kepada pelabur-pelabur daripada luar untuk datang," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis Pelancaran dan Memperkenalkan Pelumba dan Barisan Penaja Pasukan TSG di Primula Beach Hotel, semalam.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO), Wan Sukairi Wan Abdullah, timbalannya, Hishamuddin Abdul Karim serta Ketua Polis Terengganu, DCP Dato' Roslee Chik.

Hadir sama, Tengku Seri Bijaya Raja Pengarah Tanah dan Galian Terengganu merangkap Pengarah Eksekutif TSG serta Ketua Pegawai Eksekutif TSG, YM Che Ku Mohd Izmuddin Che Ku Mahmood.

Dr. Samsuri turut berpandangan, pelaburan kerajaan negeri kepada TSG sepanjang 10 tahun penubuhan pasukan itu merupakan sesuatu yang berbaloi.

"Pada saya, ia telah melonjakkan nama Terengganu di peringkat antarabangsa. Ia berkait dengan perkara-perkara lain seperti pelaburan asing yang datang telah mengenali negeri kerana TSG dan kaitan ini kadangkala sukar diukur dengan cara yang mudah tetapi, pada saya ia satu pelaburan yang berbaloi.

"Itu adalah jasa mereka yang saya rasa wajar dihargai oleh kerajaan kerana ia berkait dengan memperkenalkan nama negeri ke peringkat antarabangsa," katanya.

Setiap pelumba yang terpilih diambil kira daripada pencapaian mereka sejak tahun 2016 hingga tahun 2020 ketika mewakili TSG di persada dunia.

Para pelumba terbabit masing-masing menerima satu lot tanah kediaman Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) di seluruh negeri.  

 


Tag: