• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Larangan Jual Telur Penyu Tidak Jejas Pendapatan Pemajak

DUNGUN, 17 Jun – Larangan jualan telur penyu yang telah berkuatkuasa di Terengganu tidak menjejaskan pendapatan pemajak di negeri ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Tengku Seri Bijaya Raja berkata Kerajaan negeri melalui Jabatan Perikanan Negeri Terengganu dan beberapa pihak bertanggungjawab akan membeli telur daripada pemajak bagi tujuan penetasan dan pemuliharaan penyu.

Katanya, kadar harga jualan telur penyu yang ditawarkan juga begitu menarik justeru bagi membantu mereka dari sudut pendapatan ekonomi.

“Harga yang ditawarkan itu merupakan yang disyorkan oleh Jabatan Perikanan Negeri Terengganu dan amat berpatutan.

“Kerjasama daripada pihak pemajak juga amat memberangsangkan dan rata-rata mereka menunjukkan reaksi yang positif terhadap usaha tersebut,” jelasnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan perasmian program Kempen Penggalakan Terengganu Turtle Tourism Peringkat Negeri Terengganu Sempena Hari Sambutan Penyu Sedunia Tahun 2023 bertempat di Dataran Rantau Abang, Dungun di sini semalam.

Turut hadir Pengarah Perikanan Negeri Terengganu, Ruzaidi Mamat.

Tambah Bijaya Raja, langkah itu selaras untuk memastikan populasi penyu di negeri ini sentiasa berterusan dan terpelihara.

Untuk rekod, pada 15 November 2021, kerajaan negeri meluluskan Pindaan Enakmen Penyu 1951 yang sekali gus mengharamkan penjualan semua spesies telur penyu termasuk tuntung laut.

Mana-mana individu yang dikesan melakukan kesalahan berkenaan boleh didenda antara RM50,000 hingga RM250,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya sekali.

 

 


Tag: