• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Latihan Akademik Empower ECER Bantu Asyikin Cemerlang SPM


Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) bukan sahaja menumpukan kepada pembangunan ekonomi wilayah itu semata-mata tetapi juga membantu membangunkan modal insan.
Menerusi program latihan akademik, ECER membantu dengan menyediakan tuisyen atau kelas tambahan bagi pelajar-pelajar miskin kurang cemerlang agar mereka boleh mencapai keputusan akademik yang lebih baik.
Inisiatif yang dilancarkan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) pada 2010 itu bukan sahaja telah disertai oleh 6,946 pelajar dengan 77 peratus daripadanya mencatat prestasi akademik yang lebih baik dan  cukup membanggakan apabila 21 peratus berjaya meraih 5A dan ke atas dalam UPSR, PT3 dan SPM pada tahun lalu.

Peserta Empower ECER dari Marang yang cemerlang dalam SPM 2016, Nurul Asyikin Zulkifli dari Sekolah Menengah Kebangsaan Wakaf Tapai mengakui, kecemerlangan dan pening­katan drastik prestasi akademiknya didorong oleh penyertaannya dalam program Latihan Akademik Empower ECER anjuran ECERDC semasa di tingkatan lima sebagai persiapan menduduki peperiksaan SPM.

“Saya akui, semua ini adalah hasil kelas tambahan dibawah program ini yang saya sertai kerana sangat mustahil saya dapat mengikuti kelas tuisyen di luar memandangkan keadaan keluarga dan saya berasa sangat gembira dengan kejayaan ini,” ujarnya yang memperoleh 6A 1B 1C+ 1D dalam peperiksaan SPM yang diumumkan baru-baru ini.

Nurul Asyikin berkongsi kejayaan itu sewaktu ditemui pemberita di Majlis Penyampaian Anugerah Cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2016 kepada 25 peserta Empower ECER Kuala Nerus, Setiu dan Marang yang disempurnakan Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman di Pejabat ECER Kuala Terengganu, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Dato’ Jebasingam Issace John.

Nurul Asyikin yang bercita-cita menjadi usahawan berkata, kejayaan yang diperoleh itu akan menyuntik semangatnya untuk terus menggapai kecemerlangan di peringkat yang lebih tinggi.

“Walaupun ayah tidak lagi dapat bekerja kilang akibat kemalangan lima tahun lepas dan emak pula suri rumah, saya tidak akan jadikan kesusahan hidup sebagai penghalang untuk mencapai cita-cita,” ujarnya yang berhasrat untuk melanjutkan pengajian dalam bidang perniagaan di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).

Anak kedua daripada empat orang adik beradik itu berkata, segala perbelanjaan keluarganya kini hanya bergantung kepada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 sebulan.





Tag: