KUALA TERENGGANU, 20 Mei - Seramai lebih 100 orang peserta terlibat dalam Program Gotong-Royong Bersih Pantai Tok Kita anjuran EPIC Berhad dengan kerjasama Pertubuhan Cakna Kebajikan Kuala Terengganu (KT Care), beberapa hari yang lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dato' Wan Sukairi Wan Abdullah menghargai usaha EPIC dan KT Care atas kejayaan menganjurkan program yang berjaya mengumpulkan lebih 100 peserta dan mengutip sejumlah besar sampah yang mencemari kawasan pantai.
Menurutnya, pantai merupakan salah satu aset pelancongan utama negeri Terengganu dan perlu sentiasa dijaga kebersihannya melalui penyertaan aktif masyarakat.
"Alam ini amanah kita. Bersama kita lestarikan keindahannya. Teruskan usaha menjaga keindahan dan kecantikan pantai kita.
"Setiap daripada kita memainkan peranan penting sama ada besar atau kecil dalam memastikan pantai kekal bersih, indah dan selamat untuk dinikmati oleh generasi sekarang dan akan datang.
"Kalau orang Terengganu nak 'healing', mereka akan ke pantai. Maka, tanggungjawab untuk memastikan pantai kekal bersih adalah milik bersama. Usaha seperti ini perlu diteruskan tanpa perlu tunggu kempen besar-besaran," kata beliau melalui hantaran di laman media sosial rasminya.
Program yang bermula seawal jam 8.00 pagi itu menyaksikan kehadiran pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan, institusi pendidikan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti setempat.
Antara yang turut serta ialah wakil Pejabat Parlimen Kuala Terengganu, Pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Wakaf Mempelam, DUN Bandar, DUN Ladang, DUN Batu Buruk, Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (I-MITS), serta pelajar-pelajar cilik daripada PASTI dan Tadika Syaz.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah Dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi, Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Mohamed@Hashim, dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang, Zuraida Md Noor.
Dalam pada itu, satu sesi penyerahan sumbangan kepada KT Care turut diadakan yang disampaikan oleh Pengurus Besar Undang-Undang dan Kesetiausahaan EPIC Berhad, Fairuz Idris kepada Dato' Wan Sukairi.
EPIC berkata, Penganjuran ini merupakan sebahagian daripada inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) EPIC Berhad, yang menekankan kepentingan penjagaan alam sekitar dan memperkukuh hubungan bersama komuniti tempatan.