KUALA TERENGGANU, 23 April - Isu kebakaran di Terengganu semakin membimbangkan apabila lebih 1,000 kes direkodkan dalam tempoh kurang empat bulan pertama tahun ini.
ADUN Ladang, Zuraida Md Noor, berkata berdasarkan laporan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Terengganu, sebanyak 1,122 kes kebakaran terbuka dan 97 kes kebakaran struktur direkodkan bermula 1 Januari hingga 13 April 2026.
Menurut beliau, kebakaran struktur melibatkan rumah kediaman, premis perniagaan dan bangunan awam yang memberi implikasi besar termasuk kerugian harta benda, kehilangan tempat tinggal serta trauma kepada mangsa.
“Situasi ini jelas membimbangkan, termasuk di DUN Ladang sendiri yang merekodkan 35 kes kebakaran pada tahun 2025, dengan empat daripadanya melibatkan kebakaran bangunan dan rumah kediaman,” katanya.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan beberapa langkah proaktif bagi mengurangkan risiko kebakaran, antaranya memperluas skop Projek Perumahan Terengganu Sejahtera (PPTS) dengan memberi fokus kepada aspek keselamatan kebakaran.
Langkah tersebut termasuk pemeriksaan dan naik taraf pendawaian elektrik usang, pemasangan pengesan asap, penyediaan alat pemadam api, penambahbaikan sistem elektrik serta pemasangan lampu luar di kawasan berisiko.
Selain itu, beliau turut mencadangkan pelaksanaan Program Audit Keselamatan Rumah Berisiko melalui pemeriksaan berkala ke atas rumah lama khususnya dalam kalangan golongan B40.
Dalam masa sama, beliau mengesyorkan penubuhan Zon Kawalan Kebakaran Terbuka di kawasan hotspot serta penubuhan Skuad Sukarelawan Komuniti dengan kerjasama pihak bomba.
“Sukarelawan ini boleh berperanan sebagai respon awal bagi mengawal kebakaran kecil sebelum merebak, sekali gus mengurangkan risiko kepada penduduk,” katanya.
Tambah beliau, pendekatan tersebut penting bagi memastikan kebakaran terbuka, khususnya berhampiran kawasan perumahan, dapat dikawal dengan cepat selain mengelakkan pencemaran asap yang menjejaskan kesihatan penduduk terutama kanak-kanak dan warga emas.